MUHAMMAD Khalik (kanan) bersama pelajarnya, Ahmad Najmuddin.
MUHAMMAD Khalik (kanan) bersama pelajarnya, Ahmad Najmuddin.
Aniza Zainudin


JALINAN benang dengan teknik sulaman. Satu konsep interpretasi seni yang cukup unik untuk menggambarkan Malaysia dari sisi penghasilan karya eksklusif.

Berbanding kanvas dan warna air, karya seni bertemakan Malaysia Negaraku yang dihasilkan mahasiswa Diploma Jabatan Fesyen dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak menggunakan pendekatan berbeza apabila memilih kain dan benang sebagai medium utama.

Pensyarah kanannya, Muhammad Khalik Mustafa berkata, karya seni dihasilkan menggunakan benang dan sulaman adalah satu pendedahan baharu kepada masyarakat.

“Ramai menganggap sulaman hanya sesuai untuk fesyen termasuk perincian busana mahupun tudung, sedangkan ia boleh menjadi satu karya seni yang menarik sekiranya dipamerkan kepada khalayak.

PERKENAL ikon dan identiti Malaysia dari sisi berbeza.
PERKENAL ikon dan identiti Malaysia dari sisi berbeza.

“Karya menggunakan medium benang, kain dan reben menggunakan teknik sulaman mampu menyerlahkan sisi unik dan ketelitian ia dihasilkan.

“Sulaman bukanlah satu kerja yang mudah kerana ia memerlukan kesabaran dan ketelitian artis dalam menyempurnakan karyanya. Oleh itu, saiz bagi karya seperti ini tidak terlalu besar, hanya berukuran 3A.

“Karya sulaman juga mengambil masa panjang untuk disiapkan kerana kita ingin mengetengahkan kehalusan seni sulaman.

“Selain itu, kita juga berhasrat mempromosikan karya seni menggunakan teknik sulaman dalam kalangan penggemar mahupun penggiat seni,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, penyertaan pameran Lukisan@Premiera Siri Tiga bertemakan Malaysia Negaraku adalah kali kedua buat UiTM Perak, manakala kali pertama membabitkan karya pelajar dari UiTM Shah Alam, Selangor.

Sebanyak 54 karya pelajar bertemakan identiti Malaysia dengan gaya dan medium berbeza dipamerkan di Premiera Hotel Kuala Lumpur bermula 1 Julai hingga 30 September nanti.

WARNA terang jadi tarikan.
WARNA terang jadi tarikan.

Jelas Muhammad Khalik, karya pelajar UiTM Perak menginterpretasikan luahan tema Malaysia menerusi pemilihan ikon kartunis tanah air seperti Datuk Lat dan Ujang serta contoh setem selain pemandangan, manakala isu atau identiti negara bagi UiTM Shah Alam.

Sementara itu, pelajar diploma tahun dua, Ahmad Najmuddin Md Zaki berkata, idea karya ‘Lat Gets Lost’ sesuai dengan jiwanya yang meminati kereta dan gambar lebih terperinci.

“Saya memilih gambar yang lebih jelas kerana ingin menonjolkan kehalusan teknik sulaman. Tidak dinafikan ia memakan masa yang panjang bagi menyempurnakannya, tetapi apabila siap hasilnya memberi kepuasan.

“Bagi karya ini saya memilih benang sulaman khas dan manik sebagai medium utama. Kemudian menggabungkan kaedah sulaman tangan, ‘satin’ dan ‘french note’ serta sulaman mesin.

“Sebagai pelajar jurusan fesyen, saya tertarik dengan teknik sulaman ini.

“Malah saya juga berpendapat karya berasaskan sulaman ini mampu pergi lebih jauh dan boleh memartabatkan karya seni tanah air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 11:06 AM