Mohd Nasir menyerahkan zakat perniagaan kepada Mohd Muslim  (lima dari kanan).
Mohd Nasir menyerahkan zakat perniagaan kepada Mohd Muslim (lima dari kanan).
Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Madrasah Tahfiz al-Quran Sidi Ibrahim Ar-Rashid dan Pertubuhan Raudhatul Maryam dekat sini, masing-masing menerima wang zakat RM3,500 yang disumbangkan Affin Islamic Bank Berhad menerusi program #HMKotakRezeki2018 di sini, semalam.

Sumbangan itu diserahkan wakil Affin Bank Berhad iaitu Eksekutif Deposit Affin Bank Berhad Johor Bahru, Mohd Nasir Ibrahim.

Mudir madrasah berkenaan, Mohd Muslim Salleh berkata, sumbangan zakat itu banyak membantu pengurusan pusat berkenaan.

“Kerjasama daripada semua pihak berkaitan sama ada individu atau syarikat korporat dalam menjayakan inisiatif ini dapat meringankan beban di samping membantu kebajikan penghuni di sini.

“Sumbangan berterusan dalam kalangan masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) secara tidak langsung menggalakkan lebih ramai pihak menyampaikan bantuan selepas ini,” katanya.

Madrasah itu yang beroperasi sejak 2007 menempatkan 96 penghuni lelaki berusia 13 hingga 17 tahun selain 13 tenaga kerja termasuk guru.

MOHD Nasir  (empat dari kanan) menyampaikan zakat perniagaan kepada Mohd Nasir.
MOHD Nasir (empat dari kanan) menyampaikan zakat perniagaan kepada Mohd Nasir.

Mohd Muslim berkata, madrasah yang berkeluasan 0.40 hektar itu memerlukan RM50,000 sebulan untuk kos utiliti, makan minum penghuni dan perbelanjaan sekolah yang diperoleh hasil sumbangan individu serta syarikat swasta.

Yang Dipertua Pertubuhan Raudhatul Maryam, Mohd Nasir Mohd Nor berkata, pusat kebajikan itu mempunyai 52 penghuni termasuk anak yatim dan asnaf berusia enam hingga 16 tahun.

Katanya, sumbangan itu membantu golongan sasaran yang lebih memerlukan bantuan seperti ibu tunggal dan keluarga kurang berkemampuan.

“Alhamdulillah, bantuan yang diterima tidak pernah putus. Banyak bantuan daripada masyarakat terutama membabitkan barangan keperluan harian yang secara tidak langsung membantu penghuni di sini dan juga membantu dalam mengagihkan keperluan kepada yang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 11:38 AM