Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor, atas tuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan suapan membabitkan pemberian kontrak bernilai RM19,750, dua tahun lalu. FOTO Zain Ahmed
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor, atas tuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan suapan membabitkan pemberian kontrak bernilai RM19,750, dua tahun lalu. FOTO Zain Ahmed
Ibrahim Isa


PENOLONG Pengarah Bahagian Perundingan Pengurusan Aset Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), Azizan Mohamed Yassin, 38, didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor, sebentar tadi, atas tuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan suapan membabitkan pemberian kontrak bernilai RM19,750, dua tahun lalu.

Azizan mengangguk tanda faham apabila jurubahasa membacakan pertuduhan dan meminta kes dibicarakan.

Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khazrin Haffiz Khalil, memohon mahkamah menetapkan RM30,000 sebagai wang jaminan namun Azizan dalam rayuannya memohon jumlah dikurangkan kerana menghidap kencing manis, mempunyai tiga anak serta menjaga ibu mentuanya.

Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir, kemudian mengarahkan Azizan membayar wang jaminan sebanyak RM20,000 bersama penjamin, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada pejabat SPRM pada 1 hari bulan setiap bulan.

Mengikut kertas pertuduhan, pada Ogos 2015 ketika menjawat jawatan sebagai jurutera di JKR daerah Kulai, tertuduh menggunakan kedudukan mendapatkan suapan apabila melantik syarikat G Two Amiruddin Trading untuk kerja memotong rumput dan pembersihan jalan di sekitar Kulai dengan harga RM19,750.

Tertuduh didakwa mempunyai kepentingan apabila melantik syarikat itu yang juga milik abangnya dan mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak lebih daripada lima kali ganda suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Tertuduh diwakili peguam bela, Iskandar Shah Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 4:56 PM