PLUS menjangka 1.7 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan setiap hari sempena Aidilfitri. - Foto Fail
PLUS menjangka 1.7 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan setiap hari sempena Aidilfitri. - Foto Fail
BERNAMA

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menawarkan rebat tol sehingga 30 peratus kepada pengguna rangkaian lebuh raya kendaliannya sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Rebat tol bakal dinikmati pengguna kenderaan Kelas 1 (kereta atau kenderaan dua gandar) yang membuat perjalanan melebihi 100 kilometer di semua lebuh raya kendalian PLUS selama enam hari iaitu pada 19, 20, 21, 28, 29 Jun dan 3 Julai ini.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata penawaran rebat 30 peratus adalah untuk transaksi menerusi kad PLUSMiles sebagai tanda menghargai kesetiaan pemegang kad itu.

Rebat 10 peratus pula diberi untuk semua transaksi elektronik lain termasuk pengguna kad Touch 'n Go pada tarikh terbabit.

“Ia sebahagian daripada langkah PLUS mengagihkan trafik pada musim perayaan dan pada masa sama, menghargai sokongan orang ramai terhadap perkhidmatan lebuh raya PLUS," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Azman, tawaran itu juga bertepatan dengan pelaksanaan transaksi tol 100 peratus elektronik yang dilaksanakan di semua lebuh raya kendalian syarikat itu sejak 26 April lalu.

Beliau berkata pada tarikh-tarikh berkenaan, orang ramai masih perlu membayar tol dengan kadar biasa tetapi rebat tol 30 peratus dan 10 peratus akan dimasukkan ke dalam kad Touch 'n Go atau PLUSMiles dalam bentuk tambah nilai apabila pengguna menambah nilai kad mereka antara 15 Julai hingga 14 Oktober 2017 di pusat khidmat pelanggan lebuh raya PLUS.

Rebat itu bagaimanapun tidak meliputi transaksi di Plaza Tol Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan Jambatan Pulau Pinang.

PLUS menjangka 1.7 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan setiap hari sempena Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 9:22 PM