ANGGOTA bomba memeriksa kereta yang remuk selepas  terbabit  kemalangan.
ANGGOTA bomba memeriksa kereta yang remuk selepas terbabit kemalangan.
Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Akibat memandu dalam keadaan mabuk, tiga penumpang kereta maut apabila kenderaan itu merempuh pokok di Kilometer 111, Jalan Johor Bahru-Melaka, berhampiran Koris, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, ketika kejadian jam 4 pagi itu, kereta Hyundai berkenaan dalam perjalanan ke Rengit sebelum pemandunya iaitu lelaki berusia 40-an yang dipercayai dalam keadaan mengantuk dan mabuk terbabas di lokasi kejadian.

Katanya, mangsa yang maut serta-merta di lokasi kejadian dikenali sebagai Cheah Chen Kon, 45, serta Cheng Boon Seng dan Tan Eng Keng, kedua-duanya berusia 49 tahun.

Menurutnya, mayat mangsa kini berada di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini untuk bedah siasat.

“Mengantuk dan mabuk adalah punca pemandu gagal mengawal keretanya yang terbabas. Mereka difahamkan baru selesai menghadiri majlis makan malam dan ada meminum arak.

“Pemandu yang cedera dirawat di HSNI dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 4.14 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat bersama 10 anggota dan seorang pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

“Bomba membantu mengeluarkan mangsa dan menyerahkan mayat berkenaan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.02 pagi,” katanya.

Dalam kemalangan berasingan, seorang remaja, Ong Cheng Xin, 15, maut selepas Proton Wira dinaikinya memasuki lorong bertentangan sebelum bergesel dengan sebuah lori dalam kejadian di KM 4 1/2, Jalan Sungai Suloh-Minyak Beku di sini, kira-kira jam 2 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 5:59 AM