Mohammad Hussin
Mohammad Hussin
Nabil Basaruddin


AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan penangguhan sementara urus niaga Amanah Saham Bumiputera (ASB) pada 23 Jun ini untuk migrasi dan penambahbaikan sistem bagi meningkatkan keberkesanan operasinya.

Oleh kerana penangguhan berkenaan bersambung terus dengan cuti umum sempena Hari Raya Aidilfitri, ASB hanya akan mula diurus niaga semula pada 28 Jun 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, langkah menambah baik sistem operasi ASB itu akan membolehkan ia diuruskan di bawah satu sistem yang mudah, sama seperti produk unit amanah ASNB yang lain.

"Selaras dengan langkah menaik taraf sistem ASB ini, ASNB akan memperkenalkan opsyen sistem urus niaga tanpa buku dan mengguna pakai sistem satu nombor akaun untuk pelaburan dalam semua unit amanah ASNB.

"Langkah ini bertujuan meningkatkan kecekapan perkhidmatan ASB kepada pelabur kerana kami kini dapat menawarkan perkhidmatan yang sebelum ini tidak dapat diberikan menerusi sistem lama," katanya pada sidang media penangguhan urus niaga ASB di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 4:15 PM