GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zuliaty Zulkifli


KEDAH mencatatkan tiga kes kecederaan akibat mercun yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar bermula 3 Jun sehingga hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, daripada tiga kes itu, satu mengalami kecederaan serius dan dua hanya cedera ringan.

Menurutnya, bagi kes pertama membabitkan remaja lelaki berusia 14 tahun yang diberi rawatan kecemasan pada 10.48 malam 3 Jun lalu selepas cedera teruk di tangan kiri akibat mercun bola.

"Kes ini turut tular di laman sosial sejak semalam di mana mangsa patah tulang jari tengah, telunjuk dan ibu jari kiri.

"Jari tengah kiri turut kehilangan sebahagian daripada daripada isi dan kulit jari berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Norhizan berkata,mangsa menjalani prosedur surgikal oleh pakar pembedahan bagi rawatan kecederaan berkenaan dan kini sedang dirawat di dalam wad namun stabil.

"Kes kedua membabitkan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dirawat di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSB 10.28 malam semalam kerana mengalami kecederaan pada mata kiri iaitu kemerahan akibat terkena mercun.

"Dia juga diberi rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang pada 11.17 malam," katanya.

Beliau berkata, kes ketiga membabitkan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dari Kampung Teluk Jamat, Pokok Sena diberi rawatan pesakit luar di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSB.

"Dia hanya mengalami kecederaan ringan iaitu luka pada permukaan kulit pada jari telunjuk kanan.

"Rawatan diberikan sebelum dibenarkan pulang 12.16 tengah malam tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 8:33 PM