ABDUL Azim menunjukkan kecederaan di tangannya.
ABDUL Azim menunjukkan kecederaan di tangannya.
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Dalam tempoh sehari, dua orang menjadi mangsa mercun dengan seorang daripadanya cedera gara-gara mercun buatan sendiri.

Mohd Firdaus Roslan, 14, cedera di jari manis kanan, jari telunjuk kiri dan kelopak mata kiri selepas mercun buatan sendiri yang cuba dibakarnya berhampiran rumah di Kampung Panchor, di sini, tiba-tiba meletup pada jam 9.30 malam kelmarin.

Sebelum itu, pada jam 3 petang hari sama, tukang rumah, Abdul Azim Muhamad, 29, cedera di ibu jari dan jari telunjuk kanan selepas terkena mercun bola yang dibaling ke dalam raga motosikalnya di Kampung Jejuluk, Tumpat.

Kedua-dua mangsa menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, dan dilaporkan stabil.

Mohd Firdaus berkata, mercun buatan sendiri itu diberi rakannya yang memasukkan serbuk belerang ke dalam botol air mineral dan sumbunya perlu dinyalakan dengan mancis.

Bagaimanapun, katanya, ketika dia menyalakan sumbu mercun itu, secara tiba-tiba ia meletup mengakibatkan serpihannya terkena anggota badannya.

“Pada mulanya, saya tidak berasa sakit sehinggalah rakan memberitahu melihat darah mengalir di bahagian mata kiri. Dia yang bawa saya pulang ke rumah dan ibu bapa hantar ke klinik berhampiran sebelum ke HRPZ II,” katanya ketika ditemui di HRPZ II, semalam.

Ibunya, Amizah Setapa, 42, berkata, ketika kejadian, dia tiada di rumah dan menerima panggilan telefon daripada rakan anaknya yang memaklumkan Mohd Firdaus terkena mercun.

“Saya terus bergegas pulang ke rumah dan terkejut melihat keadaan anak berdarah. Saya dan suami membawanya ke klinik untuk rawatan serta dirujuk ke sini (HRPZ II).

“Apa pun saya bersyukur, anak tidak cedera serius,” katanya.

Sementara itu, Abdul Azim berkata, ketika kejadian itu, dia menunggang motosikal sendirian ke Pengkalan Kubor, Tumpat dan melihat beberapa kanak-kanak bermain mercun bola.

“Mereka membaling mercun itu dan tiba-tiba masuk ke dalam raga motosikal saya. Saya pegang mercun itu dan cuba membuangnya, tetapi belum sempat dicampak, ia meletup dulu.

“Saya sempatlah berhentikan motosikal di tepi jalan dan orang awam bantu bawa saya ke Hospital Tumpat sebelum dirujuk ke sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 6:31 AM