Mohamad Morshidi (dua dari kiri) bersama Presiden SBF Datuk Abang Abdul Karim Abang Openg (tiga dari kanan) menunjukkan buku mengenai anugerah CMIEA 2017. FOTO Sandra Albertz
Mohamad Morshidi (dua dari kiri) bersama Presiden SBF Datuk Abang Abdul Karim Abang Openg (tiga dari kanan) menunjukkan buku mengenai anugerah CMIEA 2017. FOTO Sandra Albertz
Sandra Albertz


PENINGKATAN trafik Internet daripada 1.3 terabit sesaat sehingga empat terabit sesaat yang dilaksanakan Telekom Malaysia (TM) di Sarawak hujung bulan ini tidak akan membabitkan pelaburan wang yang besar.

Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, kerja menaik taraf itu tidak membabitkan pemasangan kabel Internet dasar laut dan kerana itu, ia tidak memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

Tambahan pula, katanya, kabel Internet dasar laut sedia ada di negeri ini berkelajuan sehingga 12 terabit sesaat, justeru kerja menambah baik kabel Internet dasar laut di Sarawak tidak diperlukan.

“Walaupun Sarawak memiliki kabel Internet dasar laut yang tinggi, tetapi kelajuan maksimum bagi penggunaan Internet di negeri ini masih rendah.

“Peningkatan kelajuannya daripada 1.3 terabit sesaat sehingga empat terabit sesaat amat perlu bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri bagi mewujudkan ekonomi digital.

“Lagi pun, ia boleh dilakukan dengan mudah tanpa perlu pelaburan besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri (CMIEA) anjuran bersama kerajaan negeri dan Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) di Kuching di sini, semalam.

Mohamad Morshidi berkata, TM dijangka memulakan kerja peningkatan kelajuan Internet negeri ini melalui kabel dasar laut itu hujung bulan ini.

“Ia secara keseluruhannya meningkatkan kelajuan Internet yang digunakan untuk tujuan komersial, perniagaan dan industri begitu juga isi rumah.

“Tetapi ia bukan bermakna isi rumah di negeri ini boleh menerima kelajuan Internet terus sehingga empat terabit sesaat kerana boleh merosakkan peralatan elektrik yang digunakan isi rumah, jadi ia akan dihadkan antara 100 megabit sesaat atau 200 megabit sesaat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 4:31 PM