Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa tindakan Menteri Dalam Negeri menolak pendaftaran pertubuhan Hizbut Tahrir Malaysia sebagai sah dan mengikut undang-undang.

Hakim Datin Azizah Nawawi dalam penghakimannya menolak permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Presiden Hizbut Tahrir Malaysia, Abdul Hakim @ Ramizu Othman, timbalannya, Sopian Jahir dan dua orang ahlinya iaitu Hishamudin Ibrahim dan Sharifudin Md Zain dengan kos sebanyak RM10,000.

Dalam keputusannya, Azizah berkata, tindakan Menteri Dalam Negeri menolak pendaftaran pertubuhan itu adalah sah berikutan Jawatankuasa Fatwa Selangor sudah mewartakan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir bercanggah serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

Beliau juga memutuskan bahawa Hizbut Tahrir tidak mempunyai merit apabila memohon deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri menolak permohonan itu sebagai ultra vires (melangkaui undang-undang).

Pada 9 Ogos tahun lalu, pertubuhan Hizbut Tahrir memfailkan permohonan itu dengan menamakan Menteri Dalam Negeri sebagai responden.

Mereka memfailkan permohonan untuk mendaftarkan kumpulan itu sebanyak tiga kali antara November 2009 sehingga 31 Mei 2016 di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPP) tetapi gagal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 3:55 PM