Nor Azura Abdul Jalil


Bangi: Empat ahli kumpulan ajaran sesat, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Syariah Hulu Langat, di sini, atas pertuduhan menghina dan bersubahat menghina pihak berkuasa agama dengan mengadakan sidang media berkaitan fahaman dan ajaran kumpulan itu, dua tahun lalu.

Jurucakap HTM, Abdul Hakim@Ramizu Othman, 47, ahli pimpinan pusat HTM, Wan Noorul Hisham Wan Salleh, 33, Hishamudin Ibrahim, 45, dan Sofian Jahir, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohamad Firdaus Mohed.

Mengikut pertuduhan, Abdul Hakim didakwa melanggar arahan mufti yang dinyatakan melalui fatwa bertarikh 17 September 2015, jilid 68, nombor 19, fatwa kedudukan Hizbut Tahrir (2) (f) dengan cara mengadakan majlis sidang media yang disifatkan menghina pihak berkuasa agama.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) Nombor 9, 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tiga lagi tertuduh iaitu Wan Noorul Hisham, Hishamudin, dan Sofian didakwa bersubahat dengan Abdul Hakim untuk melakukan kesalahan sama mengikut Seksyen 46(b) enakmen sama pada tempat, masa dan tarikh yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Keempat-empat tertuduh yang bekerja sendiri itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah premis No 47-1, Jalan 7/7A, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, di sini, pada jam 3.30 petang, 4 Disember 2015.

Mahkamah membenarkan keempat-empat tertuduh dijamin secara lisan masing-masing RM2,000 dengan seorang penjamin pemastautin tetap negeri Selangor.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 1:35 PM
Sofian (dua kanan), Abdul Hakim (kiri), Wan Noorul Hisyam (kanan) dan Hishamuddin (tiga kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Syariah Hulu Langat atas tuduhan menghina dan bersubahat menghina pihak berkuasa agama. FOTO Rosela Ismail
Sofian (dua kanan), Abdul Hakim (kiri), Wan Noorul Hisyam (kanan) dan Hishamuddin (tiga kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Syariah Hulu Langat atas tuduhan menghina dan bersubahat menghina pihak berkuasa agama. FOTO Rosela Ismail