FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Mewajibkan semua umat Islam yang mempunyai anak lelaki berusia 15 tahun ke atas untuk mengikuti latihan bersenjata sebagai satu daripada 'fardu kifayah.'

Itu antara kandungan perlembagaan pertubuhan Hizbut Tahrir dunia termasuk menolak semua sistem demokrasi.

Menerusi Artikel 56, Draf Perlembagaan Hizbut Tahrir, ia memberi gambaran jelas berhubung cita-cita mereka, malah kumpulan itu dibimbangi akan menjadi ancaman keselamatan kepada negara.

Usaha Metro Ahad untuk menghubungi cawangan Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) bagi menjelaskan dakwaan berkenaan tidak berhasil apabila nombor telefon yang dihubungi tiada sebarang jawapan.

Pakar Kajian Strategik dan Anti Keganasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Madya Dr Mohd Mizan Mohd Aslam menjelaskan pihak berkuasa perlu menyemak semula senarai daftar kumpulan pengganas dan kumpulan yang berisiko untuk menjadi ancaman kepada negara.

Menurutnya, pertubuhan Hizbut Tahrir sedunia ini sudah diharamkan di beberapa negara antaranya Mesir, Indonesia dan Arab Saudi apabila wujud kecenderungan kumpulan berkenaan terhadap ancaman sesebuah negara.

Perlembagaan pertubuhan Hizbut Tahrir tolak  sistem demokrasi, raja berperlembagaan.
Perlembagaan pertubuhan Hizbut Tahrir tolak sistem demokrasi, raja berperlembagaan.

"Mungkin keadaan di negara ini melihat rangkaian Hizbut Tahrir belum menjurus kepada ancaman, tetapi pertubuhan berkenaan mempunyai magnitud untuk ke arah ancaman keselamatan berdasarkan kepada draf perlembagaan mereka.

"Berdasarkan kajian kita juga memperlihatkan mereka seakan-akan setuju dengan doktrin yang dipegang oleh kumpulan Salafi Takfiri serta Salafi Jihadi," katanya.

Dr Mohd Mizan berkata, pertubuhan ini menolak sistem kenegaraan seperti raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen dan secara tidak langsung tidak mengiktiraf pemimpin negara.

"Kita juga melihat beberapa individu yang terbabit dengan insiden keganasan di Indonesia sebenarnya mempunyai latar belakang pendedahan kepada Hizbut Tahrir selepas semakan profil dilakukan pihak berkuasa republik negara itu.

"Fahaman mereka ini juga mengandungi cara yang berbeza dengan akidah pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) seperti membenarkan mencium wanita bukan mahram tanpa maksud zina," katanya.

Awal minggu lalu, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay turut mengesahkan pihaknya menerima 17 laporan berhubung kes fahaman Hizbut Tahrir di negeri itu.

Beliau pada masa sama memberi amaran keras kepada pengikut fahaman itu supaya tidak bertindak melangkaui garisan keselamatan sehingga menggugat keharmonian Johor khususnya.

Ayob Khan berkata, mereka yang ditangkap boleh didakwa mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) jika berbuat demikian.

Pada Rabu, Jabatan Agama Islam Johor bersama Jabatan Mufti Johor memaklumkan pihaknya menolak sekeras-kerasnya fahaman Hizbut Tahrir yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 7:00 AM