Jajaran SPE yang dijangka siap menjelang tahun 2019. FOTO Ihsan Facebook Setiawangsa Pantai Expressway - DUKE 3
Jajaran SPE yang dijangka siap menjelang tahun 2019. FOTO Ihsan Facebook Setiawangsa Pantai Expressway - DUKE 3
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan pemilik tanah, penduduk di Jalan U-Thant serta syarikat sewaan hartanah dan pelaburan yang mahu membatalkan keputusan Menteri Kerja Raya dan empat lagi berhubung kelulusan Penjajaran Desa Pandan untuk pembinaan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE).

Hakim Datin Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan yang dibuat oleh pemilik tanah dan penduduk kawasan itu selaku pemohon tidak mempunyai sebarang merit.

Mahkamah memerintahkan pemohon membayar kos sebanyak RM3,000 kepada setiap responden.

Pemohon di dalam kes adalah Dharma Sdn Bhd, Gulam Rasool Khan T.M Abdul Hameed, Datuk Seri Md Isahak Md Yusuf, Rinata Sdn Bhd, Law Shu Keem, Enisah Baharuddin, K Joy Devi, Datuk Dr N Kunanayagam, IM Holdings Sdn Bhd dan LA & I Sdn Bhd.

Mereka menamakan Menteri Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), kerajaan dan Lebuhraya DUKE Fasa 3 Sdn Bhd sebagai responden.

Terdahulu, Azizah dalam keputusannya bersetuju dengan hujah pihak responden bahawa kepentingan awam perlu didahulukan berbanding dengan kepentingan peribadi.

“€œJajaran Desa Pandan adalah sebahagian daripada Lebuhraya SPE yang menghubungkan bahagian utara dan selatan Kuala Lumpur.

“€œTujuan utama pembinaan lebuh raya itu adalah untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dengan menyediakan sistem penguraian trafik yang lebih efisien dan meningkatkan kesinambungan sistem pengangkutan di Kuala Lumpur. Ini jelas menunjukkan SPE adalah untuk orang awam dan kepentingan awam,” katanya.

Oleh itu katanya, adalah tidak benar dakwaan pemohon bahawa keputusan untuk meluluskan projek itu sebagai tidak munasabah, tidak rasional atau tidak mengikut undang-undang.

Berhubung dengan kesihatan dan kebimbangan sosial oleh pemohon, Azizah berkata, Kajian Impak Persekitaran diluluskan pada 30 Jun 2016 dan tindakan bagi mengatasi masalah bunyi serta persekitaran sudah diambil.

Selain itu, Azizah memutuskan bahawa isu ketidakpatuhan terhadap LLM tidak lagi wujud selepas pihak terbabit tidak membuat sebarang pertikaian berhubung reka bentuk baharu jajaran itu.

Mahkamah dalam keputusannya juga menolak permohonan untuk menggantung keputusan itu.

Pada April lalu, semua pemohon memfailkan permohonan itu mendakwa mereka terjejas dengan keputusan pihak responden meluluskan Penjajaran Desa Pandan untuk SPE.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 6:32 PM