Mohd Izham Unnip Abdullah


DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) meminda Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995.

RUU itu memasukkan takrif agama Islam dan Ahli Sunnah Waljama’ah dalam Seksyen 2 enakmen itu selain turut dikukuhkan dengan menjadikan sebatan sebagai satu daripada hukuman dalam Seksyen 52.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar yang membentangkan RUU berkenaan berkata, Seksyen 52 berkaitan ajaran doktrin atau pelaksanaan apa-apa upacara atau perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak atau mana-mana fatwa berkuat kuasa di Sabah.

Katanya, pindaan bagi menyekat penularan ajaran sesat dan fahaman melampau untuk mengelak kekeliruan dan ancaman keselamatan dalam kalangan penduduk negeri itu.

“Kewujudan ajaran ini, terutama sekali yang berfahaman melampau, bukan saja memberikan kesan yang negatif atau ancaman keselamatan kepada penduduk yang beragama Islam tetapi kepada semua penduduk di Sabah tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya.

Aidi berkata, sebanyak 25 ajaran sesat dikesan di Sabah sehingga 2017 dan antara yang diwartakan adalah Aliran dan Dakyah Wahabiah; Ajaran Millah Abraham @ Ibrahim; Fahaman dan Ajaran Hizbut Tahrir; Ajaran dan Pertubuhan Rahmatan Lil ‘Alamin (PERAHMAT); Tariqah Hasaniah dan Black Metal.

Ajaran lain, katanya ialah Islam Jama’ah; Fahaman Liberalisme dan Pluralisme; Kumpulan Tal Tujuh; Ajarah Syiah dan Ajaran Ilmu Makrifat (Mengal Diri) oleh Mohd Cik Wook yang disebarkan oleh Haji Shaari Mohd Yusof.

“Berdasarkan senarai itu, tiga daripadanya dimulakan atau pengasasnya adalah dari Sabah iaitu PERAHMAT) Tariqah Hasaniah dan Ajaran Islam Jama’ah.

“Manakala, Millah Abraham @ Ibrahim, Fahaman dan Ajaran Hizbut Tahrir dan Ajaran Syiah mempunyai fahaman melampau sehingga tahap sanggup untuk melancarkan perang ke atas pemimpin dan kerajaan yang tidak sependapat atau tidak sejajar dengan ajaran mereka,” katanya.

Pembentangan RUU itu turut dibahas dan disokong beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan Islam, antaranya Datuk Masiung Banah (WARISAN-Kuamut) dan Loretto S Padua (WARISAN-Lantikan).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 2:39 PM