MAHDZIR (duduk, dua kiri) mendengar taklimat ketika perasmian Pelan Unifi Mobile JASA, hari ini. FOTO Amirudin Sahib
MAHDZIR (duduk, dua kiri) mendengar taklimat ketika perasmian Pelan Unifi Mobile JASA, hari ini. FOTO Amirudin Sahib
Nor Akmar Samudin


HAMPIR 16,000 permohonan pertukaran oleh guru duka lara bagi mengikut pasangan masing-masing, sudah diluluskan sepanjang tempoh Disember 2015 hingga tahun lalu.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebanyak 7,000 permohonan lagi akan diproses pada Jun depan.

Menurutnya, kebanyakan permohonan yang diluluskan itu membabitkan mereka bertugas jauh dari keluarga melebihi lima tahun, sekali gus mengurangkan jumlah guru duka lara berkenaan.

Katanya, baki jumlah guru duka lara bawah lima tahun juga akan dikurangkan dari semasa ke semasa.

“Guru terbabit dipindahkan atas permintaan mereka. Keseluruhan jumlah permohonan pertukaran guru duka lara ialah hampir 30,000.

“Bagaimanapun, bukan semua pasangan terbabit yang kedua-dua suami isteri adalah guru. Ada yang pasangan mereka dalam bidang kerjaya lain tetapi terpaksa tinggal berjauhan.

“Antara kriteria utama permohonan pertukaran guru terbabit ialah kekosongan jawatan, keperluan mata pelajaran di negeri yang dipohon dan kepentingan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Transformasi Digital Kementerian Pendidikan - Ke Arah Pembelajaran Abad Ke-21 di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, mengenai program berkenaan, Mahdzir berkata, pihaknya bekerjasama dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi mempertingkat kualiti pembelajaran di negara ini menerusi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Permuafakatan antara kementerian dengan TM selaras aspirasi melaksanakan metodologi pembelajaran abad ke-21 di lebih 1,000 bilik darjah seluruh negara membabitkan sekolah di bandar dan luar bandar,” katanya.

Katanya, inisiatif itu membabitkan empat tunjang utama iaitu teras pertama - Pembelajaran Abad Ke-21, teras kedua (Enterprise Architecture), teras ketiga (Analitik Pendidikan) dan teras keempat (Perkhidmatan Nilai Tambah).

Pada majlis sama, Mahdzir turut melancarkan pakej UniFi Mobile data tanpa had khusus untuk guru pada kadar RM59 sebulan dengan 10GB LTE Hotspot Tethering.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 8:34 PM