Tong LPG yang dirampas KPDNKK. FOTO ihsan KPDNKK
Tong LPG yang dirampas KPDNKK. FOTO ihsan KPDNKK
Meor Riduwan Meor Ahmad


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah menyita 1,051 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM108,856 dari sebuah premis penyimpanan di Padang Sera, Jitra, Kedah, pagi semalam.

Ketua Pegawai Penguat kuasanya, Shamsul Nizam Khalil berkata, serbuan Op Gasak II itu dilakukan tujuh anggota penguat kuasa KPDNKK pada 10 pagi dan mendapati premis berkenaan menyimpan LPG melebihi had kuantiti dibenarkan dalam lesen.

"Premis ini mempunyai lesen borong dengan had simpanan semasa 2,500 kilogram (kg) dan lesen runcit 135 kg.

"Kesalahan dilakukan iaitu melanggar Peraturan 9(1) dan 10(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Nizam berkata, operasi dibuat selepas pihaknya menjalankan intipan selama lima hari berdasarkan aduan diterima.

"Semasa pemeriksaan dilakukan, seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun yang mengaku sebagai pengarah syarikat berkenaan ditahan untuk siasatan.

"Keseluruhannya kita merampas 1,051 tong LPG seberat 13,040 kg, membabitkan LPG 12kg (837 tong) dan LPG 14kg (214 tong)," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengambil tindakan mengikut Peraturan 9(1) dan 10 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Jika sabit kesalahan pemilik premis boleh didenda maksimum RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Manakala bagi perbadanan atau syarikat boleh didenda tidak melebihi RM2 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 1:14 PM