Tong LPG yang dirampas KPDNKK dalam serbuan di Ulu Tiram dan Skudai. FOTO Zain Ahmed
Tong LPG yang dirampas KPDNKK dalam serbuan di Ulu Tiram dan Skudai. FOTO Zain Ahmed
Ibrahim Isa


DUA kilang masing-masing di Ulu Tiram dan Skudai diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor, petang semalam, kerana memindahkan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi tanpa lesen.

Dalam serbuan 3.30 petang itu, KPDNKK merampas keseluruhan 1,196 tong LPG bernilai RM500,000.

Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Johor, Aris Mamat berkata, serbuan dilakukan hasil risikan selama sebulan.

"Dalam serbuan di Skudai, kita merampas sebanyak 979 tong LPG termasuk 383 tong kosong manakala di Ulu Tiram pula, kita merampas sebanyak 217 tong.

"Hasil siasatan mendapati premis di Skudai membekalkan gas LPG subsidi 14 kilogram kepada premis di Ulu Tiram yang kemudiannya akan memindahkan gas kepada tong industri 50 kilogram secara tidak sah," katanya di sidang media di stor KPDNKK di Taman Perindustrian Idaman, hari ini.

Aris berkata, tong gas industri itu kemudian dijual pada harga antara RM190 hingga RM200.

Katanya, serbuan dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana tidak mempunyai lesen untuk menjalankan perniagaan barang kawalan.

Menurutnya, dua pemilik premis berusia 50-an akan dipanggil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 12:26 PM