ANGGOTA KPDNKK Selangor memeriksa LPG yang dirampas dalam serbuan, kelmarin.
ANGGOTA KPDNKK Selangor memeriksa LPG yang dirampas dalam serbuan, kelmarin.
Ayusliza Azizan \

hmetroshahalam@hme

Klang: Akibat tidak faham keperluan memohon lesen menyimpan gas petroleum cecair (LPG), pemilik sebuah stor menyimpan ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor untuk disoal siasat, kelmarin.

Serbuan jam 2 petang itu dibuat selepas premis berkenaan disyaki menjual barang kawalan LPG bersubsidi secara haram di Jalan Udang Galah Telok Gong, di sini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK negeri Abdul Rosik Yakub berkata, pemeriksaan mendapati lelaki berusia 30 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen yang menunjukkan stor berkenaan mempunyai lesen.

“Lelaki warga tempatan itu seperti tidak mengetahui banyak perkara, malah bertindak menunjukkan lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) apabila diminta menyerahkan lesen.

“Kami terpaksa menahannya bagi menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, sebanyak 218 tong LPG jenis 14 kilogram (kg) dan 50 kg dianggarkan bernilai RM25,000 dirampas untuk tindakan lanjut.

“Ia masing-masing membabitkan tong yang berisi LPG dan ada antaranya turut kosong,” katanya.

Abdul Rosik berkata, pihaknya bertindak menyerbu premis beroperasi kurang setahun itu selepas menerima aduan mengenai stor simpanan LPG yang beroperasi secara haram dan tidak mempunyai lesen.

“Pemilik premis disiasat mengikut Peraturan Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berniaga barang kawalan tanpa lesen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 8:41 AM