Anggota polis mengangkat mayat mangsa kemalangan di Jalan Lido, Kota Kinabalu, pagi ini. FOTO ihsan polis
Anggota polis mengangkat mayat mangsa kemalangan di Jalan Lido, Kota Kinabalu, pagi ini. FOTO ihsan polis
Junaidi Ladjana


SEORANG pekerja hotel maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat Jalan Lido, Kota Kinabalu, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, Fernandes Kadoh, 33, dari Kampung Pulong, Tenom parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dikatakan mahu ke pusat bandar raya dari arah Penampang dan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton itu juga arah sama.

“Kejadian berlaku apabila pacuan empat roda itu dipercayai merempuh motosikal mangsa menyebabkannya terpelanting sejauh 12.4 meter.

“Mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1),” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dihantar ke HQE 1 untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan itu diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 11:50 AM