LAPAN individu dikompaun RM1,000 kerana melanggar melepak di Pantai Lido petang semalam. FOTO ihsan polis
LAPAN individu dikompaun RM1,000 kerana melanggar melepak di Pantai Lido petang semalam. FOTO ihsan polis
Mohamed Farid Noh


LAPAN individu dikompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana didapati melepak tanpa tujuan di Pantai Lido, Johor Bahru, petang semalam.

Dalam pemeriksaan 6.30 petang itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) yang menjalankan pemantauan di jalan Pantai Lido menghala ke Skudai mengambil tindakan ke atas lapan individu terbabit.

Ketua Polis Daerah JBS, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, polis menjalankan pemeriksaan terhadap sekumpulan lelaki yang meletakkan lapan kereta di bahu jalan sebelum melepak di tepi pantai.

"Hasil siasatan awal mendapati mereka gagal memberi alasan munasabah berhimpun.

"Mereka mengaku hanya bersiar-siar dan memberi alasan duduk lepak di tepi pantai berkenaan mengambil angin.

"Mereka ditahan dan dibawa ke IPD JBS bagi tujuan dikompaun kerana gagal mematuhi arahan PKPB," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Padzli berkata, lapan individu berkenaan dikompaun mengikut kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

"Selepas selesai urusan kompaun, mereka diarahkan pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang digariskan dalam PKPB dengan polis akan mempertingkatkan pemantauan di kawasan taman rekreasi dan lokasi tumpuan ramai bagi mengelak perhimpunan demi memutuskan rantaian Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 1:02 PM