Mohd Hafizee Mohd Arop


DUA sahabat dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Taiping, hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis ganja seberat 2.93 kilogram (kg) di Sungai Siput, tiga tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamed Zaini Mazlan terhadap V Nadarajan, 30, dan R Vikneswaran, 30, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa mengedar ganja seberat 2.93 kg di kawasan letak kereta pasar raya di Jalan Lintang, Sungai Siput, 7.20 petang 14 Januari 2014.

Mereka didakwa ikut seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Mohd Azrul Faidz manakala Nadarajan diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu dan Vikneswaran diwakili P Ravi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 11:08 AM
V Nadarajan (dua kanan) dan R Vikneswaran (dua kiri) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Taiping. FOTO Muhaizan Yahya
V Nadarajan (dua kanan) dan R Vikneswaran (dua kiri) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Taiping. FOTO Muhaizan Yahya