EL Fa (tengah) didenda RM10,000 dan penjara sehari selepas mengaku bersalah  merasuah RM30 kepada  anggota polis.
EL Fa (tengah) didenda RM10,000 dan penjara sehari selepas mengaku bersalah merasuah RM30 kepada anggota polis.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: “Saya mengaku bersalah dan mahu pulang ke kampung,” kata seorang warga Kemboja yang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan memberi sogokan RM30 kepada anggota polis, Jumaat lalu.

Tertuduh, El Fa Ilin, 38, sebelum itu berulang kali membuat pengakuan itu ketika kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Habibah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 kepada tertuduh dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara tambahan selama empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh memilih untuk menjalani hukuman penjara berkenaan kerana tidak mempunyai wang bagi membayar denda itu.

Mengikut kertas pertuduhan, El Fa didakwa memberi suapan kepada seorang anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Kuantan, Lans Koperal Sokongan Mohd Zulkhairi Mat Zin sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu dan pas lawatan tamat tempoh.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di tepi jalan berhampiran Pusat Latihan Memandu Sungai Soi, Jalan Kuantan-Pekan jam 11.10 pagi pada 7 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana yang paling tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh memohon supaya hukumannya diringankan kerana perlu menanggung isteri, dua anak, ayah serta dua adiknya dengan pendapatan sekitar RM60 sehari sebagai penjaja makanan.

Tertuduh juga memaklumkan dia masuk ke negara ini sejak 2015.

Sementara itu, Mahadi dalam hujahnya meminta mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh memandangkan kesalahan itu amat serius walaupun nilai suapan rendah.

“Perbuatan tertuduh yang juga warga asing cuba memberi rasuah kepada anggota polis adalah satu jenayah yang serius.

“Oleh itu sebagai mesej kepada masyarakat, saya mohon hukuman yang setimpal dikenakan terhadap tertuduh,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan terserempak dengan tertuduh yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan sebelum memintanya memberhentikan kenderaannya.

Pengadu meminta tertuduh menunjukkan kad pengenalan dan lesen memandu namun El Fa mengeluarkan dua keping wang kertas masing-masing not RM20 dan RM10 dan menyerahkan kepada pengadu.

Tertuduh diminta untuk menyimpan semula wang berkenaan namun dia enggan berbuat demikian.

Hasil pemeriksaan pada badan serta motosikal tertuduh mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu dan pas lawatannya tamat pada 31 Mac 2016.

Tertuduh dibawa ke IPD Kuantan untuk tindakan lanjut dan pengadu membuat laporan di pejabat SPRM Pahang pada jam 7.25 malam hari yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 5:44 AM