ANGGOTA SPRM mengiringi kakitangan awam yang didakwa atas kesalahan membuat tuntutan palsu. FOTO Zulkepli Osman
ANGGOTA SPRM mengiringi kakitangan awam yang didakwa atas kesalahan membuat tuntutan palsu. FOTO Zulkepli Osman
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


PENOLONG jurutera di Pejabat Tanah dan Daerah Rompin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu berhubung kerja pembinaan surau berjumlah RM65,340, Disember lalu.

Tertuduh, Mohd Azly Kamrudin, 31, dari Kampung Feri Pontian, Kuala Rompin bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menandatangani dokumen perakuan pengesahan kerja yang sudah disiapkan iaitu surau di perumahan Pontian Jaya berjumlah RM65,340.

Tertuduh didakwa mengetahui dokumen itu mempunyai butiran matan palsu dan kerja pembinaan surau berkenaan tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Dia melakukan kesalahan itu pejabat tanah dan daerah rompin pada 20 Disember 2016.

Mohd Azly melakukan kesalahan itu mengikut Sesyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin sebelum Habibah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, dua kakitangan Jabatan Penerangan Pahang mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan membuat tuntutan palsu berhubung pembekalan makanan dan minuman pada Program Penghayatan 1Malaysia di Cameron Highlands tiga tahun lalu.

Tertuduh, Samsuri Mamat@Mohamed, 41, dan Zuraini Uda, 35, yang masing-masing menjawat jawatan Penolong Pegawai Penerangan dan Pembantu Penerangan melakukan kesalahan itu pada Ogos dan November 2014 di Pejabat Penerangan Cameron Highlands.

Mereka didakwa menggunakan invois bertarikh antara 11 Ogos hingga 7 November 2014 berjumlah RM1,950 untuk pembekalan makanan dan minuman pada program berkenaan yang mana dalam pengetahuan mereka pembekalan itu tidak dilaksanakan.

Mereka melakukan kesalahan itu mengikut Sesyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Mohd Fadhly menawarkan jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan sebelum Habibah membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM6,000 setiap seorang.

Mahkamah menetapkan tarikh 19 September depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 12:23 PM