ANGGOTA SPRM mengiringi Zainal Abidin di Mahkamah Kuantan, semalam.
ANGGOTA SPRM mengiringi Zainal Abidin di Mahkamah Kuantan, semalam.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: Seorang Pegawai Hutan Daerah Jerantut dipenjara sembilan bulan dan denda RM150,000 atas kesalahan menerima wang RM340,000 daripada sebuah syarikat pembalakan yang mempunyai hubungan rasmi dengan tugasnya.

Tertuduh, Zainal Abidin Maskon, 33, dari Batu 1, Jalan Benta, Jerantut, sebelum itu membuat pengakuan bersalah selepas lima pertuduhan pilihan dibacakan kepadanya di depan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suatu benda berharga tanpa suatu balasan iaitu wang tunai RM340,000 daripada Pengurus Syarikat P&K Trading, Yiang Kwai Seng yang diketahuinya mempunyai hubungan dengan kerja rasmi membabitkan urusan permohonan lesen pembalakan di Hutan Simpan Tekam serta Tekai dalam Mukim Tembeling, Jerantut milik Yayasan Pahang serta Bakat Bijak Sdn Bhd.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Malayan Banking Berhad cawangan Kuantan pada 1 Julai 2016, 24 Januari dan 21 Jun lalu.

Habibah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan dan denda RM150,000 serta tertuduh juga diarahkan menjalani hukuman penjara tambahan lima bulan jika dia gagal menjelaskan denda itu.

Habibah mengarahkan hukuman penjara dijalankan serentak dari tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 11 September lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Fadhly Mohd Zamry manakala tertuduh diwakili peguam, Hon Kai Ping, Datuk Ng See Teong dan Muhammad Irwan Bidin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 3:33 AM