Udang geragau dijemur sebelum ditumbuk.
Udang geragau dijemur sebelum ditumbuk.
Rodly Fadly


Juru: Tidak sah berkunjung ke Pulau Aman, di sini, jika pulang tanpa membawa belacan.

Istimewanya belacan Pulau Aman, Pulau Pinang, menurut mereka yang pakar kerana rasanya berbeza serta lebih sedap berbanding belacan yang dihasilkan di tempat lain.

Tidak hairan asal ada jenama Pulau Aman pada label pembungkusan, orang tidak berfikir panjang membelinya walaupun kadangkala ia bukan belacan asli dari pulau berkenaan.

Menurut pengusaha belacan di pulau itu, Md Noor Harun, 62, rahsia sebenar mengapa belacan Pulau Aman menjadi begitu istimewa kerana ketulenannya yang menggunakan 100 peratus udang tanpa dicampur dengan bahan lain.

Malah, katanya, proses pembuatannya masih mengekalkan kaedah tradisi apabila ia ditumbuk menggunakan lesung sementara proses pengeringan dilakukan secara jemuran di bawah terik matahari.

“Tumbuk guna lesung serta dijemur secara semula jadi mampu mengekalkan rasa udang berbanding menggunakan mesin.

“Demi mengekalkan kualiti belacan pulau ini, saya masih menggunakan kaedah lama walaupun guna mesin lebih cepat,” kata Md Noor.

Beliau satu-satunya pengusaha belacan yang masih aktif di Pulau Aman selepas generasi awal pengusaha belacan seperti Haji Yaakob Talib dan Ahmad Said Saad meninggal dunia.

Kalau menilai usia dan kudratnya, Md Noor mengakui pernah terfikir untuk bersara dan berehat saja.

Bagaimanapun, demi meneruskan legasi belacan Pulau Aman, dia gagahkan juga walaupun pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi.

Mengusahakan pengeluaran belacan sejak 15 tahun lalu bersama isterinya, Jamaliah Yusof, Md Noor berkata, dia memaksa diri meneruskan perusahaan itu kerana sayangkan belacan yang sinonim dengan pulau berkenaan.

“Semua orang tahu belacan Pulau Aman antara belacan terbaik dikeluarkan di negara ini. Malah, tidak dinafikan, belacan merupakan antara keunikan pulau ini kerana setiap pelancong terutama rakyat tempatan pasti membawa pulang belacan sebagai buah tangan berbanding barangan lain.

“Kini, hanya tinggal saya seorang yang mengusahakannya selepas kematian Haji Yaakob beberapa bulan lalu. Kalau ikutkan hati, saya sendiri kadang-kadang berasa malas untuk meneruskan perusahaan ini.

“Maklumlah pada usia sekarang, kudrat saya tidak segagah dulu malah cabaran menghasilkan belacan kini lebih besar.

“Bagaimanapun, apabila difikirkan, terasa sayang pula untuk membiarkan warisan generasi lama pulau ini dibiarkan mati begitu saja. Jika saya pun ambil keputusan pencen, maknanya tiada lagi belacan Pulau Aman,” katanya.

Md Noor berkata, generasi muda di pulau itu termasuk anak-anaknya sendiri tidak berminat meneruskan perusahaan belacan sebaliknya lebih suka berhijrah dan bekerja di bandar.

Malah, anak muda yang masih menetap di pulau itu dan sinonim dengan kehidupan laut juga lebih suka menjadi nelayan daripada mengusahakan belacan. Ini kerana proses membuat belacan agak remeh dan memberi pulangan yang lambat berbanding menjual terus hasil tangkapan kepada peraih.

“Proses untuk membuat belacan bermula dengan menjaring udang kerana udang yang dijaring sendiri lebih segar dan menjimatkan. Namun jika musim tengkujuh, amat sukar untuk mendapat udang.

“Malah, bulan Jun dan Julai juga tiada udang kerana bukan musimnya.

“Kemudian udang perlu dijemur sehingga kering, sebelum diperap dengan garam. Selepas itu, ia akan ditumbuk sehingga lumat menggunakan lesung.

“Udang yang sudah lumat ditumbuk ini dijemur sekali lagi sebelum proses pemampatan menggunakan blok serta pembungkusan dilakukan,” katanya.

Menurut Md Noor, selain proses menghasilkannya yang agak cerewet, cabaran utama yang dihadapinya sekarang untuk mendapatkan bekalan udang memandangkan ia semakin pupus.

“Saya tidak pasti apa puncanya namun sejak kebelakangan ini semakin sukar mendapat udang di sekitar Pulau Aman. Untuk mendapatkan bekalan daripada pihak lain, harganya mahal.

“Apabila keadaan ini berlaku, saya tidak memperoleh keuntungan seperti diharapkan kerana kosnya meningkat sedangkan saya tidak boleh menaikkan harga sesuka hati,” katanya.

Md Noor tidak pasti berapa lama dia dapat bertahan. Bagaimanapun menurutnya, selagi terdaya, dia akan terus mengusahakan belacan demi meneruskan warisan yang ditinggalkan generasi terdahulu.

“Saya tidak tahu apa akan jadi apabila saya tidak ada kelak (meninggal dunia) kerana setakat ini tiada sesiapa berminat mewarisinya termasuk anak-anak saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 9:06 AM