TAYIBAH  menunjukkan kebebe yang sudah siap.
TAYIBAH menunjukkan kebebe yang sudah siap.
Teks dan gambar D J Dolasoh

Seramai 300 wanita Lenggong, Perak kini sedang giat menghidupkan kembali sajian tradisional daerah itu daripada 100 jenis makanan termasuk yang berusia 200 tahun yang pernah mendominasi selera masyarakat satu ketika dulu.

Beraneka makanan tradisional dulu yang kini hampir dilupakan generasi sekarang sehingga ada antaranya yang bukan saja tidak tahu cara memasaknya, malah tidak pernah mendengar nama makanan meskipun ia lazat dan berkhasiat.

Antara sajian yang diangkat kembali itu ialah kebebe, gulai kemahang, kerabu beko dan perut, gulai petani daging, masak bersamah daging, gulai lemak pisang dan daging salai, gulai lemak rebung, kerabu umbut bayas, ikan pekasam, daging masak hitam dan pindang ikan sungai.

Manakala nasi pula seperti nasi daun lerek dan nasi dalam buluh Orang Asli, pelbagai jenis ubi dan pisang bakar selain beraneka kuih tradisional sebagai pencuci mulut atau makanan santai.

Kebebe antara makanan tradisional semakin mendapat perhatian termasuk pelancong dari luar negara kerana ia hanya ada di daerah Lenggong saja. Justeru, ia menjadi antara pilihan utama untuk dihidupkan dan dipopularkan kembali.

Kebebe adalah sejenis makanan tradisional kegemaran orang zaman dulu kala yang dipercayai lebih 200 tahun lalu dibuat menggunakan 13 jenis bahan yang terdapat di kampung. Sajian ini bukan saja sinonim dengan majlis kenduri-kendara kerana ia dihidangkan kepada para tetamu selepas menjamu selera sebagai pencuci mulut, tetapi juga sebagai makanan santai pada waktu petang.

Bagaimanapun, ia boleh dimakan pada bila-bila masa kerana rasanya yang bercampur antara pahit, kelat, manis, masin dan pedas itu sebagai makanan ‘penyelamat’ kepada rasa mual terutama selepas banyak makan sesuatu makanan.

Kebebe juga dianggap masyarakat zaman dulu sebagai ‘penyembuh’ dan penghilang kelesuan, membantu menghilang­kan masalah mulut terasa pahit yang biasanya dialami selepas kebah atau sembuh daripada demam.

Kelaziman masyarakat zaman dulu apabila membuat majlis kenduri terutama perkahwinan atau tahlil, mereka melakukannya secara bergotong-royong yang membabitkan ramai saudara-mara dan jiran tetangga untuk membantu menjayakan majlis itu.

Menurut Ketua Kumpulan Kebebe Lenggong, Tayibah Ismail, 61, dari Kampung Teluk Batu berkata, asal-usul kebebe ini bermula apabila seorang wanita tua yang banyak pengalaman di satu majlis kenduri memberi formula untuk menghilangkan kesan minyak pada lesung kayu selepas menumbuk kelapa untuk membuat kerisik.

“Jadi, lesung itu tidak perlu dibasuh untuk menghilangkan kesan minyak dari kelapa parut untuk dijadikan kerisik itu sebaliknya memasukkan pelbagai buah-buahan dan ditumbuk sehingga lumat.

“Secara tidak langsung lesung dan hulunya menjadi bersih kerana kesan minyak tanggal sepenuhnya. Manakala bahan yang ditumbuk itu pula boleh dimakan dan rasanya sangat enak terutama selepas memasukkan bahan secukup rasa,” katanya yang mengetahui cerita itu daripada orang-orang tua dulu.

Kata­nya, sebutan nama kebebe itu tidak diketahui asalnya, tetapi sajian istimewa itu boleh disediakan sendiri atau secara bergotong-royong sekiranya untuk membuat dalam kuantiti yang banyak.

Malangnya sajian ini semakin dilupakan dan hampir pupus tiada pihak yang cuba memperkenalkan­nya semula menyebabkan generasi baru tidak tahu mengenai kewujudannya. Antara sebabnya ialah sebahagian bahan itu sukar dicari dan hanya boleh diperoleh di dalam hutan.

“Justeru, saya yang mengetahui sedikit sebanyak cuba membuat­nya bersama 14 rakan sekampung. Kami diberi amanah untuk memperkenalkan semula kebebe dengan bimbangan Ketua Kampung Teluk Batu, Abdul Aziz Sharif supaya generasi akan datang dapat mewarisi sajian ini,” katanya.

Kebebe mengandungi banyak vitamin C dan serat sesuai untuk penjagaan kesihatan kulit badan selain boleh mencegah mata kita daripada menjadi mudah kabur.

Bahan yang diperlukan untuk menyediakan kebebe ialah cili padi, belacan, garam, gula, belimbing buluh, buah cermai, buah kelempong, buah cedong, jantung pisang, nangka muda, jambu batu, nanas dan kelapa muda (bemban).

Tayibah berkata, cara membuatnya, masukkan cili padi, garam dan belacan ke dalam lesung dan tumbukkan hingga lumat. Kemudian barulah dimasukkan semua bahan lain dan ditumbuk lagi hingga lumat, akhir sekali masukkan gula secukup rasa. Gabungan semua bahan inilah yang memberikan rasa manis, masam, masin, kelat dan pedas yang menjadikannya begitu istimewa.

Sebaik-baiknya hidangkan ke dalam kelopak jantung pisang atau di atas daun pisang. Boleh juga makan dengan menggunakan sudu daun nanas dan sisanya yang berkuah senang dihirup melalui hujung kelopak jantung itu.

Seorang lagi ahli kumpulan, Rahmah Sulaiman, 58, yang ditugaskan sebagai ketua masakan gulai petani daging Kampung Temelong, Lenggong berkata, masakan itu juga pernah menjadi lauk utama dan popular bagi ma­syarakat zaman dulu.

“Kebanyakan bahan yang digunakan untuk menyediakan makanan ini mudah diperoleh kerana selain bahan asas iaitu daging, kerisik dan santan, ia juga memerlukan bawang, serai, lengkuas, cili padi, kunyit, halia, belacan, daun kesum dan kentang.

“Bahan herba kampung ini yang membangkitkan aroma dan menjadikan sesuatu masakan itu lebih sedap. Secara tidak langsung ia menjadi ‘pengikat kasih’ antara suami dan isteri serta keluarga terutama apabila menikmati hidangan bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, Pesta Makanan Tradisional Lenggong (PMTL) diadakan di Dataran Lenggong, baru-baru ini bagi memperkenalkan kembali makanan tradisional dari daerah itu yang sudah kurang dikenali dan digemari generasi baru.

Pesta dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir itu lebih menjurus kepada demon­strasi 25 jenis makanan terpilih berasaskan bahan kampung yang disediakan 300 penduduk manakala 300 orang lagi menumbuk pelbagai jenis sambal.

Shamsul Anuar berkata, pada pesta kali ini pihaknya hanya memperkenalkan 25 daripada 100 jenis makanan tradisional Leng­gong yang pernah popular dalam kalangan masyarakat dulu kerana generasi kini bukan saja ramai tidak mengenalinya, tetapi ada juga yang tidak pernah merasainya.

“Pesta ini sebenarnya bertujuan memperkenalkan makanan tradisional kampung kepada generasi muda sebagai makanan sihat supaya ia dapat diwarisi sampai bila-bila.

“Saya yakin, komitmen ditunjukkan 300 wanita Lenggong bagi mempromosikan semula makanan tradisional Lenggong ini akan memberi banyak manfaat termasuk untuk menarik lebih ramai pelancong ke sini selain menjadikannya sebagai sumber pendapatan khususnya kepada wanita terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 5:13 AM