mangsa   ditemui berhampiran kawasan rawatan air Ampang, semalam.
mangsa ditemui berhampiran kawasan rawatan air Ampang, semalam.

Ampang: 24 jam terperangkap di dalam hutan tanpa makan dan minuman. Itu pengalaman dilalui dua lelaki apabila tersesat ketika turun dari Bukit Belacan, di sini, kelmarin,

Mangsa, Syafuizal Syamsudin, 55, bersama rakannya dikenali sebagai Ali, 44, dikatakan mendaki bukit berkenaan jam 10 pagi Selasa lalu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Cheras, Baharizam Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.46 pagi kelmarin dan sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Seramai tujuh anggota dikerahkan ke lokasi. Setibanya di lokasi, anggota APM melihat sebuah kenderaan dipercayai milik mangsa berada di lokasi.

“Operasi mencari mangsa turut dibantu sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perhutanan.

“Kedua-dua mangsa ditemui berhampiran kawasan rawatan air Ampang pada jam 4.34 petang,” katanya.

Menurutnya, mangsa mengadu gagal turun pada petang hari kejadian disebabkan faktor hujan lebat dan tanda jalan turun turut hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 3:26 AM