CERMIN tingkap  bahagian pemandu  dipecahkan penjenayah.
CERMIN tingkap bahagian pemandu dipecahkan penjenayah.
myMetro

Kajang: Seorang guru wanita sekolah menengah berdepan detik cemas apabila diserang dua lelaki bersenjatakan parang yang menyamun rumahnya di Seksyen 5, Bandar Baru Bangi, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, wanita berkenaan dikatakan sedang menutup pagar sebelum keluar untuk ke tempat kerja dan menghantar anak-anaknya ke pusat jagaan kanak-kanak.

Menurut sumber, ketika menutup pagar, mangsa dihampiri dua lelaki yang menaiki motosikal dan membawa parang sebelum memasuki perkarangan rumah wanita berkenaan.

“Suspek bertindak memecah tayar dan cermin kereta jenis Perodua Myvi milik mangsa di bahagian pemandu sebelum melarikan beg tangan dan barang kemas yang dipakai wanita itu.

“Ketika kejadian, dua anak mangsa masing-masing berusia tiga tahun dan 10 bulan berada di dalam kenderaan itu. Namun mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, kejadian sama turut berlaku di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, di sini, kelmarin apabila empat lelaki bersenjatakan parang cuba menyamun sebuah rumah di lokasi berkenaan.

“Empat lelaki terbabit yang menaiki dua motosikal cuba memecah masuk ke pekarangan sebuah rumah di lokasi itu dengan bersenjatakan parang pada jam 11.10 pagi ketika anak mangsa menyidai kain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 9:46 AM