Rakaman cctv menunjukkan sekumpulan lelaki memanjat pagar sebuah rumah dalam cubaan samun di Bukit Raja, malam tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Rakaman cctv menunjukkan sekumpulan lelaki memanjat pagar sebuah rumah dalam cubaan samun di Bukit Raja, malam tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Norzamira Che Noh


PANJAT tembok dan pintu pagar rumah mangsa beramai-ramai. Itu tindakan sekumpulan empat penjenayah bertopeng yang cuba menyamun sebuah rumah di Taman Mutiara Bukit Raja 2 di Klang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, dalam kejadian pada jam 9.30 malam tadi, empat suspek menceroboh masuk ke dalam kawasan rumah berkenaan manakala seorang lagi suspek menunggu di dalam kereta.

"Dua daripada empat suspek itu bersenjatakan parang. Sebaik sahaja penjenayah memasuki rumah, mangsa dikatakan terus menjerit meminta pertolongan daripada jiran di hadapan kediaman.

"Kumpulan penjenayah itu kemudian terus melarikan diri selepas berada di dalam rumah berkenaan dalam tempoh kurang lima minit.

"Mangsa hanya kehilangan telefon bimbit dalam kejadian itu. Polis kini sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 387 Kanun Keseksaan," katanya tadi.

Kejadian rompakan itu tular apabila video berdurasi dua minit 20 saat melalui kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan penjenayah memanjat masuk ke rumah mangsa.

Sebaik sahaja memasuki rumah mangsa, kedengaran suara jeritan seorang wanita meminta tolong. Wanita itu kemudian dilihat berlari keluar dari rumah berkenaan.

Kumpulan suspek kemudian segera beredar dari lokasi dengan menaiki sebuah kereta yang diparkir berdekatan rumah mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 7:00 PM