MOHD Afizal (kanan) dan Muhammad Khairi dibawa ke Mahkamah Majistret Jawi, Nibong Tebal.
MOHD Afizal (kanan) dan Muhammad Khairi dibawa ke Mahkamah Majistret Jawi, Nibong Tebal.

Nibong Tebal: Dua lelaki yang ditahan kerana merusuh di Stadium Negeri Batu Kawan, dekat sini, Sabtu lalu dipenjara empat hari dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Jawi, semalam.

Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan membawa mercun ketika menonton perlawanan bola sepak antara Pulau Pinang dan Sarawak, Sabtu lalu.

Tertuduh yang juga pekerja kilang, Mohd Afizal Mohd Aziz, 22, dan nelayan Muhamad Khairi Mat Yusoff, 28, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dan mengaku bersalah di hadapan Majistret Shamsol Azwa Martadza.

Tertuduh yang diwakili Foo Siew Pheng dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon denda dikurangkan kerana Mohd Afizal dan Muhamad Khairi menginsafi perbuatan mereka dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Mereka kemudian dijatuhkan hukuman penjara empat hari bermula dari tarikh mereka ditangkap 11 Februari lalu dan denda RM6,000.

Shamsol turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Afizal didakwa memiliki dua bungkusan berisi 12 biji mercun naga di Stadium Batu Kawan pada jam 8.45 malam, 11 Februari lalu.

Muhamad Khairi pula didakwa memiliki empat mercun bola di stadium berkenaan pada jam 11 malam hari sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 5:15 AM