Anggota polis membawa tertuduh, Mohd Afizal (kanan) dan Muhammad Khairi ke Mahkamah Majistret Jawi, Nibong Tebal atas kesalahan memiliki mercun semasa ditahan selepas Pulau Pinang tewas pada Sarawak 1 - 0 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 11 Februari yang lalu. FOTO Amir Irsyad Omar

Shamsul Munir Safini

Nibong Tebal: Dua lelaki dipenjara empat hari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Jawi, hari ini, kerana membawa mercun ketika menonton perlawanan bola sepak Sabtu lepas.

Tertuduh yang juga pekerja kilang Mohd Afizal Mohd Aziz, 22, dan nelayan Muhamad Khairi Mat Yusoff, 28, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Shamsol Azwa Martadza.

Kedua-dua tertuduh dipenjara empat hari bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 11 Februari lalu.

Mengikut pertuduhan, Mohd Afizal didakwa memiliki dua bungkus mercun yang berisi 12 biji mercun naga di Stadium Batu Kawan di sini pada 8.45 malam, 11 Februari lalu.

Muhamad Khairi pula didakwa memiliki empat biji mercun bola di stadium tersebut pada jam 11 malam, tarikh sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 3:21 PM