GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Dua beradik masing-masing didenda RM18,000 dan RM24,000 di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan tender.

Sharifah Norhafizah Syed Abdul Hamid, 33, dan Syed Hairul Nizam, 42, didakwa atas tiga pertuduhan membabitkan tender perkhidmatan membekal makanan ke asrama sekolah di Tawau.

Dua beradik terbabit membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan itu pada 24 November 2016.

Mereka didakwa menggunakan penyata akaun bank bertarikh 31 Julai, 31 Ogos dan 30 September 2016 sebagai dokumen palsu bagi mendapatkan tender perkhidmatan membekal makanan bagi tempoh kontrak 1 April 2017 hingga 31 Mac 2019.

Kedua-duanya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman denda RM6,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayarnya, bagi setiap satu pertuduhan kepada Sharifah Norhafizah.

Manakala Syed Hairul Nizam dijatuhi hukuman denda RM8,000 atau empat bulan penjara, jika gagal membayar denda bagi setiap satu pertuduhan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Nartiah F Mirchelle Sambatan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Azhier Arisin & Jaafar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 3:24 PM