SEORANG banduan dilihat memeluk erat ibunya ketika majlis Jalinan Kasih Tahun Baru Cina di Penjara Pra Bebas Dusun Datuk Murad, Ayer Keroh.
SEORANG banduan dilihat memeluk erat ibunya ketika majlis Jalinan Kasih Tahun Baru Cina di Penjara Pra Bebas Dusun Datuk Murad, Ayer Keroh.
Norizzah Baharudin


Melaka: “Hanya kerana percayakan rakan, saya terpaksa meringkuk dalam penjara dan menanggung rindu untuk mendengar panggilan ‘papa’ daripada anak perempuan.

“Bayangkan ketika umurnya baru berusia setahun, dia terpaksa berpisah dan kehilangan kasih sayang seorang ayah, malah melihat sendiri saya digari sebelum dibawa pergi,” luah penghuni Penjara Pra Bebas Dusun Datuk Murad, Ayer Keroh, Hau Kim, 37.

Kisah duka lelaki itu bermula apabila dia ditahan polis pada awal 2015 sebelum dihukum penjara tiga tahun selepas didapati bersalah memiliki senjata api tanpa lesen.

Menurutnya, kerana percayakan pujukan rakan yang bekerja sebagai pengutip hutang untuk menyimpan sepucuk senjata api jenis Revolver berserta peluru di rumahnya akhirnya dia terpaksa meringkuk di dalam penjara.

“Ketika diminta olehnya saya cuba memberi alasan untuk tidak menyimpannya kerana tahu ia adalah salah, tetapi selepas dipujuk akhirnya saya akur.

“Senjata berkenaan kemudian disimpan di ruang tersembunyi di rumah dan selama empat tahun ia tidak pernah disentuh sehinggalah sepasukan polis menyerbu rumah saya,” katanya ketika ditemui di Majlis Jalinan Kasih Tahun Baru Cina, di Penjara Pra Bebas Dusun Datuk Murad, Ayer Keroh, di sini, semalam yang turut dihadiri Pengarahnya, Nor Haizan Md Isa.

Menurutnya, apa yang menjadi persoalan dia hingga kini bagaimana pihak polis tahu kedudukan senjata terbabit, apabila menemuinya tanpa diberitahu.

Katanya, tidak mahu anaknya melihat kehidupan di dalam penjara dan dia melarang isteri membawa cahaya matanya itu setiap kali melawatnya.

“Sepanjang dua tahun meninggalkannya, saya hanya mengetahui perkembangan melalui telefon bimbit apabila ditunjuk oleh isteri ketika datang melawat.

“Saya tidak sabar menunggu saat untuk dibebaskan hujung tahun ini dan berazam memulakan kehidupan baru bersama keluarga tersayang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 6:58 AM