Putrajaya: Pusat Penjagaan Kanak-kanak Program Permata Negara (PERMATA) dan Pusat Komuniti PERKASA@Remaja akan ditubuhkan di kediaman projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) terpilih menjelang tahun depan.

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Othman Mahmood berkata, kedua-dua pusat berkenaan dibina di setiap projek pembangunan kediaman bertingkat PR1MA yang membabitkan 500 unit dan ke atas.

“Pusat asuhan PERMATA bagi kanak-kanak yang berumur satu hingga empat tahun ini bukan hanya memberikan perkhidmatan asuhan semata-mata malah turut menyediakan kelengkapan bagi merangsang perkembangan pembelajaran dan keselamatan mereka.

“Selain itu, Pusat Komuniti PERKASA@ Remaja pula khas untuk mereka yang berumur antara 15 hingga 25 tahun direka bentuk untuk mendekati remaja dengan menyediakan pelbagai aktiviti yang dapat membentuk potensi diri mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Bagi Penubuhan Pusat Asuhan PERMATA Negara dan Pusat Komuniti PERKASA@ Remaja Antara PERMATA Negara dan Perbadanan PR1MA Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Pada majlis itu, PERMATA diwakili Othman manakala PR1MA diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Mutalib Alias.

Othman berkata, cadangan penubuhan keperluan prasarana bagi kedua-dua pusat itu cetusan idea isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat terutama mereka yang berpendapatan kurang RM4,000.

“Beliau (Rosmah) ingin melihat ibu bapa yang mendiami perumahan itu mendapat peluang memberikan pendidikan awal lebih berkualiti kepada anak masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 8:23 AM
OTHMAN bertukar dokumen dengan Abdul Mutalib (kanan) selepas menandatangani perjanjian kerjasama, semalam.
OTHMAN bertukar dokumen dengan Abdul Mutalib (kanan) selepas menandatangani perjanjian kerjasama, semalam.