ROSMAH bersama Idris (dua dari kanan) melihat model Permata Kurnia yang akan dibina di Melaka.
ROSMAH bersama Idris (dua dari kanan) melihat model Permata Kurnia yang akan dibina di Melaka.
Suhaila Shahrul Annuar

Putrajaya: Melaka menjadi lokasi kedua penubuhan Pusat PERMATA Kurnia yang menyediakan perkhidmatan intervensi awal pendidikan kepada kanak-kanak autisme.

Isteri Perdana Menteri merangkap Penaung Program PERMATA Datin Seri Rosmah Mansor berkata, pusat itu adalah yang kedua ditubuhkan selepas Pusat PERMATA Kurnia Sentul, Kuala Lumpur pada Disember 2015.

Rosmah berkata, pembinaan pusat yang dilengkapi kemudahan terkini dengan suasana pembelajaran kondusif itu dijangka dimulakan pada bulan ini dan siap akhir tahun ini membabitkan kos RM2.5 juta.

Menurutnya, pusat berkenaan yang akan memberi akses pendidikan kepada kanak-kanak autisme di Zon Selatan iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor yang boleh menampung seramai 150 bagi program prasekolah dan perkhidmatan intervensi awal.

“Memandangkan kemasukan ke pusat ini adalah melalui rujukan daripada pihak hospital, PERMATA juga sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa hospital kerajaan di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

“Daripada segi perjawatan pula, PERMATA memperoleh kelulusan sebanyak 22 perjawatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi tenaga pengajar yang diperlukan.

“Pegawai intervensi yang dilantik ini akan mengikuti Kursus Diploma Lanjutan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Autisme) selama sembilan bulan dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di bawah Kementerian Pendidikan, manakala Pembantu Pegawai Intervensi pula akan mengikuti Kursus Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Autisme) iaitu Sijil Kemahiran Malaysia Tiga (SKM 3),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan antara Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Melaka bagi Projek Pembangunan Pusat PERMATA Kurnia Zon Selatan.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Rosmah berkata, sehingga kini, sebanyak 877 kanak-kanak autisme mendapat perkhidmatan intervensi awal dan pendidikan di Pusat PERMATA Kurnia dan daripada jumlah itu, 81 kanak-kanak berjaya meneruskan pendidikan ke kelas Tahun Satu dan tadika aliran perdana.

“Ini bermakna masa depan mereka lebih cerah untuk mencapai kehidupan lebih berdikari dan produktif.

“Selain memberikan perkhidmatan langsung kepada kanak-kanak autisme, Pusat PERMATA Kurnia juga berjaya memberi latihan kepada 6,600 peserta terdiri daripada ibu bapa, guru dan masyarakat.

“Selain itu, latihan mengenai autisme yang dikenali sebagai i-Kurnia juga ditawarkan secara dalam talian dan boleh diakses secara percuma,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 7:12 AM