Zuliaty Zulkiffli

Pendang: Dua beradik warga emas gigih mengerah kudrat demi mencari sesuap nasi untuk menyara hidup mereka termasuk menjaga kakak yang terlantar akibat angin ahmar.

Salmiah Arifin, 64, dan adiknya, Rajmah, 63, bukan saja menoreh getah seawal jam 7 pagi setiap hari malah turut mengutip biji getah dan memancing ikan untuk menambah sumber rezeki.

Menurut Salmiah, sebelum ini mereka tiga beradik tinggal berasingan namun sejak masing-masing kematian suami, mereka tinggal di rumah kakak sulung mereka, Jah Arifin, 84.

Katanya, selain itu, dua anak Rajmah berusia 17 dan 24 tahun turut tinggal di rumah berkenaan malah seorang daripadanya turut membantu menoreh getah.

"Kakak diserang angin ahmar sejak September tahun lalu selepas tiba-tiba rebah menyebabkan dia kini tidak boleh bergerak.

"Sejak itu, saya dan Rajmah menggalas tugas bergilir menjaganya setiap hari termasuk memandikannya, memakai lampin pakai buang dan makan minumnya sebelum keluar menoreh," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Lahar Tunjung, Mukim Rambai, di sini, hari ini.

Menurut Salmiah, ada kalanya mereka tidak dapat keluar menoreh getah disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu tetapi mampu mengutip biji getah untuk dijual RM2 sekilogram (kg).

Dalam sehari, mereka mampu mengutip empat kg biji getah dan memperoleh RM8 selain pendapatan purata menoreh getah RM500.

Katanya, dengan wang yang ada itulah dibelanjakan untuk membeli lampin pakai buang dan susu formula khas untuk kakak mereka seperti yang disyorkan oleh doktor.

"Kami tak terima sebarang bantuan bulanan daripada mana-mana pihak dan hanya menggunakan kudrat yang ada untuk menyara kehidupan kami sekeluarga.

"Lebih terkesan bagi kami apabila ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu akibat Covid-19 yang mana kami tidak dapat keluar mengail ikan untuk dibuat jualan pekasam malah pendapatan kami terjejas kerana tidak dapat menoreh getah," katanya.

ZURAINI (kanan) turut menyerahkan bantuan keperluan makanan serta susu formula khas selain wang tunai untuk kegunaan mereka. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ZURAINI (kanan) turut menyerahkan bantuan keperluan makanan serta susu formula khas selain wang tunai untuk kegunaan mereka. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Menurutnya, ketika itu mereka terpaksa berjimat untuk makan dan terputus bekalan makanan tetapi bersyukur kerana ada pihak sudi menghantar bantuan makanan.

Katanya, kini mereka bertiga termasuk anak Rajmah terus bekerja dengan menoreh getah, mengutip biji getah dan mengail ikan darat untuk dibuat jualan pekasam bagi meneruskan sisa kehidupan mereka.

"Nak bergerak ke mana-mana pun takut sebab Covid-19 walaupun kami berdua sudah disuntik vaksin tetapi kakak masih belum berbuat demikian kerana dia tidak dapat bergerak.

"Saya mempunyai tujuh anak tetapi anak ketiga saya sudah meninggal dunia akibat kanser payudara enam tahun lalu manakala anak yang lain menetap di negeri lain dan masing-masing sudah berkeluarga selain mempunyai tanggungan mereka tetapi kerap bertanya khabar," katanya.

Jah pula mempunyai seorang anak tetapi menetap di Alor Setar dan tidak dapat merentas daerah ketika ini.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional 02100-29-00063950-4 (Rajmah Arifin) atau menghubunginya di talian 017-5678355.

Sementara itu, Pengerusi Canser Survivor Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang mengunjungi mereka turut menyerahkan sumbangan katil khas untuk Jah yang lebih selesa.

Selain itu, Zuraini turut menyerahkan bantuan keperluan makanan serta susu formula khas selain wang tunai untuk kegunaan mereka.

"Mereka ini tidak meminta bantuan lain walaupun pernah terputus bekalan makanan akibat pandemik Covid-19 namun mereka masih boleh berdikari dengan mengutip biji getah, menoreh dan memancing ikan untuk makan sendiri selain menjualnya untuk mendapatkan sumber kewangan.

"Kita akan cuba membantu mereka dan melihat apa keperluan yang diperlukan untuk pesakit serta keluarga ini dalam meneruskan kehidupan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 12:59 PM