Iskandar Shah Mohamed dan Kalidevi Mogan Kumarappa dan Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Tiga orang ditahan termasuk seorang dalang utama, seorang wanita bergelar Bonda selain doktor yang mendalangi kegiatan penjualan bayi di negara ini.

Dalam Ops Baby yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman diketuai Superintendan Cha Hoong Fong, bermula jam 2 petang itu, beberapa lokasi menjadi sasaran termasuk klinik bersalin di Klang, Puchong, Tanjung Sepat, Banting dan Labu, Negeri Sembilan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Salleh berkata, operasi itu dilancarkan bagi membantu siasatan mengenai laporan stesen televisyen Al-Jazeera mengenai kegiatan penjualan bayi di negara ini.

Katanya, selain kerjasama Unit Forensik dan Jabatan Kesihatan Selangor, serbuan lebih tiga jam itu turut disertai polis di daerah masing - masing.

“Pasukan kami yang dianggotai 32 orang pegawai dan anggota membuat serbuan dan pemeriksaan ke atas tiga klinik iaitu dua di Klang dan satu di Puchong selain empat premis kedai di Seremban, Klang, Sepang dan Tanjung Sepat, Selangor.

“Hasilnya, tiga orang berjaya ditahan iaitu seorang wanita berusia 38 tahun, seorang doktor berusia 54 tahun dan seorang pekerja klinik berusia 24 tahun,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, operasi itu dijalankan hasil risikan dan maklumat mengenai dokumentari yang dilaporkan stesen antarabangsa berkenaan.

“Kita menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh dan operasi akan diteruskan bagi mengesan individu lain seperti yang ada dalam laporan dokumentari.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 14 Akta ATIPSOM 2007 iaitu pemerdagangan kanak-kanak,” katanya.

Pada 24 November lalu, media antarabangsa Al-Jazeera memaparkan dokumentari berdurasi 25 minit yang mendedahkan mengenai penjualan bayi bertajuk “Malaysia: Babies For Sale” yang disiarkan dalam program 101 East.

Harian Metro pada April tahun lalu turut mendedahkan kegiatan penjualan bayi di negara ini selepas melakukan penyiasatan selama lebih dua bulan.

Dalam penyiasatan yang mendapat kerjasama Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman itu, seorang wanita dipercayai dalang kegiatan berkenaan ditahan manakala 21 wanita mengandung serta seorang bayi perempuan berjaya diselamatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 10:43 AM
POLIS gempur sebuah klinik bersalin di Klang.
POLIS gempur sebuah klinik bersalin di Klang.
Anggota polis mengambil keterangan pekerja klinik dalam  Ops Baby susulan laporan stesen televisyen Al-Jazeera di sebuah klinik bersalin di Klang.
Anggota polis mengambil keterangan pekerja klinik dalam Ops Baby susulan laporan stesen televisyen Al-Jazeera di sebuah klinik bersalin di Klang.