myMetro

Kuala Lumpur: Laporan media antarabangsa seperti al-Jazeera mengenai kemasukan warga Bangladesh ke negara ini tidak menggambarkan situasi sebenar kerana maklumat diperoleh mereka bukan saja tidak tepat, malah rakaman lama yang dibuat enam bulan lalu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, siasatan mendapati dokumentari terbabit dibuat secara bersiri bagi menunjukkan perkara negatif sama seperti di negara lain.

Justeru, katanya, tidak menghairankan apabila media antarabangsa itu mempunyai masalah dengan negara tertentu termasuk Malaysia.

“Apa yang dilaporkan al-Jazeera bukan sekadar tiga hari lalu, tetapi ia bersiri dan meletakkan Malaysia menerima pendatang tanpa izin. Sebenarnya dalam siasatan yang dibuat, dokumen al-Jazeera buat rakaman enam bulan lalu.

“Sekarang apabila kita buat permohonan secara online (dalam talian), perkara ini tak timbul lagi. Banyak perkara negatif pasal Malaysia dibuat, bukan perkara ini saja. Sebab itu dia ada masalah dengan negara lain,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Terdahulu Wan Azizah meminta Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan laporan al-Jazeera itu yang memaparkan terdapat berjuta-juta warga Bangladesh masuk ke Malaysia menerusi satu sistem seperti pemerdagangan manusia.

Menangkis dakwaan itu, Ahmad Zahid berkata, jumlah 1.5 juta warga Bangladesh yang berada di Malaysia tidak benar kerana ia angka warganegara itu yang ingin ke luar negara melalui rekod daripada kerajaan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 5:32 AM