KHAMARUL Rezan menunjukkan pucuk daun rerama.
KHAMARUL Rezan menunjukkan pucuk daun rerama.
Oleh Azman Zakaria

Umum mengetahui barah antara penyakit yang sukar diubati dan pelbagai penyelidikan dilakukan banyak pihak untuk mencari serta menghasilkan ubat.

Selain kaedah perubatan terbaik terhadap penyakit yang boleh membawa maut ini.

Usaha berterusan penyelidik mungkin dapat merintis jalan menemui ramuan atau ubat yang berkesan untuk menangani penyakit yang digeruni ini.

Kajian awal Universiti Putra Malaysia (UPM) terhadap tumbuhan yang dikenali daun rerama atau red butterfly wing atau nama saintifiknya Christia Vespertilionis ini, mendapati ia menunjukkan ciri-ciri antibarah dan antikeradangan.

Justeru, UPM bakal menjalankan penyelidikan selanjutnya dengan melakukan saringan dan ujian praklinikal peringkat kedua terhadap daun rerama.

Pensyarah dan penyelidik Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Latifah Saiful Yazan berkata, kajian peringkat kedua ini bakal dijalankan terhadap haiwan (in vivo).

“Dalam kajian itu nanti, sel barah payudara disuntik ke dalam tikus dan kemudian ia dirawat dengan ekstrak daun rerama.

“Kajian peringkat kedua itu bakal menggunakan sebahagian daripada Enterprise Innovation Fund (EIF) sebanyak RM300,000 yang diperuntukkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),” katanya.

Dr Latifah berkata, saringan pertama yang dilakukan pada 2013 secara in vitro, menggunakan ekstrak daun rerama terhadap enam jujukan sel barah yang sukar dirawat termasuk barah payudara, peparu, usus besar, serviks dan ovari, mendapati sel yang paling sensitif ialah sel barah payudara.

Katanya, saringan kedua ini juga bakal meneliti profil kimia daun rerama.

“Tanaman daun rerama ini diusahakan Khamarul Rezan Lim Abdullah, 58.

Ia dikatakan bukan saja berkesan membantu merawat barah, tetapi turut berupaya merawat pe­nyakit denggi, angin ahmar, darah tinggi, kencing manis, masalah usus (seperti gastrik, sembelit dan cirit birit), asma, migrain, resdung dan demam campak.

“Bagi kajian ini, Khamarul Rezan bakal membekalkan daun rerama berkenaan. Beliau mula menanam semula pokok ini yang bakal matang dalam tempoh tiga bulan sebelum daunnya boleh diambil untuk kajian.

“Selain untuk penanaman semula pokok, dana berkenaan juga digunakan untuk pembelian beberapa peralatan seperti mesin pengering, mesin penghancur dan mesin pembungkus serta untuk penjenamaan produk,” katanya.

Menurutnya, secara umumnya ekstrak daun rerama ini tidak mendatangkan kesan sampingan kepada penggunanya.

“Kaedah rawatan yang digunakan ialah meminum rebusan air daun rerama ini, sebagaimana konsep merendam dan meminum air teh.

“Daun rerama terdapat dalam pelbagai warna, tapi yang digunakan untuk penyelidikan bagi tujuan perubatan ialah daun rerama yang berwarna hijau.

“Pokok ini boleh mencapai ketinggian kira-kira dua meter dan bagi mempercepatkan percambahan, pucuknya harus selalu digunting,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 8:34 AM