PENDUDUK Orang Asli menyiapkan bangsal baru di Jalan Pos Bihai, semalam.
PENDUDUK Orang Asli menyiapkan bangsal baru di Jalan Pos Bihai, semalam.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Masyarakat Orang Asli tidak gentar menghadapi sebarang kemungkinan sebaik tempoh arahan supaya pemasangan halangan lori balak di tiga lokasi ke perkampungan mereka berakhir Isnin ini.

Malah, lebih ramai lagi yang akan dikumpulkan di tiga lokasi berkenaan termasuk sekatan pertama di laluan Pos Tohoi di Kampung Petei, kedua di Pos Bihai dan ketiga Pos Pasik.

Mereka kini sedang menambah pembinaan bangsal di tiga lokasi itu sebagai tempat berkumpul semua penduduk dan menanti tindakan daripada Jabatan Perhutanan Kelantan yang mendakwa akan meroboh sekatan terbabit.

Wakil penduduk Orang Asli, Mustafa Along, 29, berkata, masyarakat mereka akan tetap mempertahankan tindakan walaupun menjelang hari terakhir notis pengosongan yang diberikan oleh Jabatan Perhutanan.

Katanya, semua penduduk bersatu hati untuk menghadapi rempuhan sama ada daripada lori balak atau jentera lain.

“Sebagai persediaan kami mungkin akan menambah lebih banyak lagi sekatan baru dalam masa terdekat tanpa menghiraukan sebarang notis.

“Kami tetap mempertahankan hak bagi melindungi kemusnahan hutan akibat aktiviti pembalakan dan mahu tanah adat kaum kami diwartakan walaupun didesak supaya mengosongkan kawasan itu oleh pihak berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jaringan Orang Asli Kelantan (JOAK), Nasir Dollah berkata, tindakan itu bukan hasutan daripada mana-mana pihak dan ia adalah suara komuniti Orang Asli di peringkat akar umbi.

Katanya, ini disebabkan tindak balas daripada kerajaan negeri yang tidak menghiraukan tuntutan dan berusaha mencari jalan penyelesaian dengan sebaik mungkin.

“Jika sekatan dirobohkan, kami akan bertindak balas dengan apa cara termasuk membina lebih banyak sekatan di kawasan lain.

“Kami mahu kerajaan negeri mengiktiraf kawasan tanah dan wilayah adat kami sebagai jaminan isu ini tidak akan berulang pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:48 AM