PENDUDUK Orang Asli berkumpul di Kampung Parit sebelum bergerak ke Simpang Kampung Petei, Pos Tohoi.
PENDUDUK Orang Asli berkumpul di Kampung Parit sebelum bergerak ke Simpang Kampung Petei, Pos Tohoi.

Gua Musang: Selepas hampir dua minggu tiga sekatan di Hutan Simpan Balah, di sini, yang dibina penduduk Orang Asli diruntuhkan, mereka kembali membina sekatan baru di lokasi sama di Simpang Kampung Petei, di sini, sejak kelmarin.

Mereka mula mendirikan semula bangsal sebelum membina sekatan menghalang laluan lori balak.

Wakil penduduk Orang Asli dari Kampung Sedal Pos Simpor, Jamil Gabong, 33, berkata, tumpuan utama sekarang membina sekatan baru di Simpang Kampung Petei.

Katanya, tindakan itu diteruskan semula berikutan penduduk Orang Asli belum berpuas hati dengan penjelasan kerajaan negeri berhubung tuntutan tanah adat.

“Kami belum mendapat penjelasan tepat bagi tuntutan itu dan tetap dengan pendirian sebelum ini untuk meneruskan tindakan membina sekatan.

“Selepas ini, kami bergerak pula ke jalan Pos Balar dan Pasik untuk membina sekatan di situ,” katanya

Harian Metro sebelum ini melaporkan Jabatan Perhutanan Kelantan meroboh tiga sekatan haram di kawasan Hutan Simpan Balah pada 29 November dan menahan 54 Orang Asli kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

Selepas ditahan reman beberapa hari mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Sebelum itu, 200 penduduk membabitkan penduduk beberapa kampung membuat sekatan bagi menghalang syarikat pembalak daripada mengeluarkan hasil kayu di Hutan Simpan Balah kerana didakwa merosakkan alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 11:21 AM