DR Suzana  (kiri) pada program Perkasa Right Diet For You bersama ibu tunggal dan suri rumah tangga anjuran UKM di Masjid Al-Mustaqim Bandar Seri Putra.
DR Suzana (kiri) pada program Perkasa Right Diet For You bersama ibu tunggal dan suri rumah tangga anjuran UKM di Masjid Al-Mustaqim Bandar Seri Putra.

Bangi: Usaha mendidik dan memupuk diet pemakanan seimbang dalam kalangan masyarakat perlu diperluaskan kepada peniaga makanan supaya menjadi budaya sihat rakyat negara ini.

Pensyarah Nutrisi dan Dietetik Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Suzana Shahar berkata, peniaga makanan menjadi ejen perubahan budaya dalam masyarakat yang terbesar terutama dalam era kehidupan keluarga berkerjaya hari ini.

“Seperti kita dapat lihat hari ini, kebanyakan keluarga akan menikmati makanan di luar yang disediakan peniaga yang majoritinya tidak menekankan aspek diet seimbang dalam sajian mereka.

“Sebab itu hari ini kita anjurkan bengkel khas buat peniaga-peniaga makanan ini untuk memberi kesedaran tentang tanggungjawab mereka ini kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harian Metro pada Kursus Usahawanan Jana Pendapatan Secara Bijak Right Diet 4 U anjuran bersama Masjid Bandar Seri Putra, Bangi dan Pusat Penyelidikan Rehabilitasi Komuniti dan Penuaan Fakulti Sains Kesihatan UKM, semalam.

Bengkal dua hari itu dihadiri 30 usahawan kecil perniagaan makanan di rumah terdiri daripada golongan asnaf dan ibu tunggal berusia antara 20 hingga 50 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 7:23 AM