PESERTA Lawatan turut dibawa meninjau fasiliti di FSMP.
PESERTA Lawatan turut dibawa meninjau fasiliti di FSMP.
HM Digital

Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) bekerjasama dengan Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Negeri Sabah dalam berkongsi kepakaran bagi memperkasa hidangan menu makanan bagi pesakit disfagia.

  Pensyarah Program Perkhidmatan Makanan FSMP, Dr Aizul Azri Azizan dalam satu kenyataan berkata, risiko disfagia adalah satu keadaan apabila pesakit mengalami gangguan menelan disebabkan faktor-faktor seperti penuaan, strok, kanser dan lain-lain yang banyak dilaporkan dalam kalangan warga tua di negara ini.

  Katanya, ini sekali gus menjadikan Malaysia berisiko dengan keadaan disfagia memandangkan jangkaan 20 peratus daripada jumlah penduduk menjelang tahun 2056 adalah terdiri daripada warga tua.

  "Justeru, melalui kerjasama ini, UMS dan Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Negeri Sabah akan memperkasakan menu disfagia berpandukan kerangka kerja International Dysphagia Diet Standardization Innitiatives (IDDSI) iaitu panduan penyediaan dengan kaedah pengujian yang digunakan banyak negara di dunia dalam pengurusan pesakit disfagia.

  "Usaha ini juga adalah bagi memastikan menu yang disediakan di hospital selari dengan intervensi dan preskripsi klinikal yang diberikan dari penilaian yang dijalankan pakar perubatan dan pakar pemulihan pertuturan ('speech therapist')," katanya.

PEGAWAI-PEGAWAI dari Jabatan Dietetik dan Sajian Negeri Sabah mengadakan lawatan kerja ke Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan MSU.
PEGAWAI-PEGAWAI dari Jabatan Dietetik dan Sajian Negeri Sabah mengadakan lawatan kerja ke Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan MSU.

  Dr Aizul berkata, melalui jaringan kerjasama antara akademik dan industri itu, perkongsian sumber serta kepakaran berkaitan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan makanan kesihatan melalui penyediaan diet disfagia patuh IDDSI di hospital-hospital seluruh Sabah.

  "Pelaksaaan IDDSI ini belum pernah dilaksanakan di mana-mana fasiliti kesihatan di Malaysia sekali gus menjadikan usaha ini sebagai satu anjakan dalam pengurusan disfagia negara.

  "Justeru, FSMP UMS amat berbesar hati untuk terus menyumbang dan berkolaborasi dengan Jabatan Dietetik dan Sajian melalui perkongsian kepakaran dan sumber untuk pelaksanaan IDDSI di semua hospital negeri Sabah," katanya.

  Sementara itu, Ketua Kepakaran Dietetik dan Sajian, Norafizah Mohd Nordin berkata, pelaksanaan IDDSI di Sabah menunjukkan komitmen perkhidmatan makanan kesihatan negeri dalam membantu meningkatkan pengambilan pemakanan pesakit di hospital.

  Katanya, pelaksanaan IDDSI ini juga dapat memastikan tekstur makanan yang disediakan selamat dimakan pesakit sebagaimana berdasarkan keperluan klinikal.

  "Usaha kerjasama ini juga bagi meningkatkan kemahiran penyedia makanan di hospital kerajaan untuk merancang menyedia diet yang mematuhi spesifikasi IDDSI," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 6:42 AM