NOR Fitri Balqis masih lemah selepas menjalani pembedahan, Selasa lalu.
NOR Fitri Balqis masih lemah selepas menjalani pembedahan, Selasa lalu.
Muhamad Izzat Nasuruden


Ipoh: Seorang ibu hanya mampu menitiskan air mata kesyukuran selepas dua anaknya selamat menjalani pembedahan pemindahan air sum sum tulang belakang di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Selasa lalu.

Rosnani Rosli, 33, ibu kepada Nor Fitri Balqis Muhamad Norasmar, 10, yang menghidap leukemia merelakan air sumsum tulang belakang anak bongsunya berusia 21 bulan didermakan kepada kakaknya itu.

Harian Metro 5 November lalu melaporkan, 200 mililiter (ml) air sumsum tulang belakang Muhamad Aniq Ammar dirancang didermakan bagi menyelamatkan nyawa kakaknya selepas doktor mengesahkannya sesuai.

Menurut Rosnani, pembedahan dijangka dilakukan kelmarin dipercepatkan dua hari selepas doktor mengesahkan keadaan Nor Fitri yang juga anak keduanya semakin lemah.

“Pembedahan mengambil masa sejam setengah bermula jam 8.30 pagi dan pada waktu itu hanya Allah yang tahu perasaan takut saya kerana kedua-dua anak dibedah.

“Selepas diberitahu doktor pembedahan selamat dilakukan, saya gembira sehingga menitiskan air mata kesyukuran dan berharap mereka cepat pulih seperti sedia kala,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, Muhamad Aniq yang juga anak bongsu daripada tiga beradik mengadu sakit pada bahagian belakang sebaik sedar daripada pembedahan itu.

Menurutnya, doktor memberitahu dua lubang di bahagian pinggul dan pinggang ditebuk bagi mengeluarkan air sumsum tulang belakang.

“Adik (Muhamad Aniq) hanya menangis dan berkata, ‘mama sakit’ sebaik sedar daripada kesan ubat bius selepas pembedahan, namun selepas dua hari keadaannya bertambah baik.

“Saya lega apabila doktor memberitahu pembedahan itu menunjukkan kesan positif kepada anak kedua saya yang masih dalam pemantauan doktor manakala anak bongsu dibenarkan keluar wad semalam (kelmarin),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 6:24 AM