Nazrul    berkongsi kejayaan bersama ibu bapanya  selepas majlis Istiadat Konvokesyen ke-86 di Dewan Agung Canselor UiTM, Shah Alam.
Nazrul berkongsi kejayaan bersama ibu bapanya selepas majlis Istiadat Konvokesyen ke-86 di Dewan Agung Canselor UiTM, Shah Alam.
Ayusliza Azizan


Shah Alam: “Saya menjadikan kekurangan fizikal sebagai dorongan untuk terus berusaha, malah bertekad bersaing dengan mereka yang cukup sifatnya,” kata graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Nazrul Muhamin Abd Aziz, 25.

Dia yang kehilangan mata kanan yang dibuang akibat menghidap kanser ketika berusia dua tahun berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan (Bahasa Melayu Komunikasi Profesional) semalam.

Nazrul berkata, doktor menasihati matanya dibuang supaya tidak merebak pada mata kiri.

“Selepas pembedahan itu, saya perlu menjalani radioterapi dan kimoterapi selain pernah diambil air tulang belakang. Lebih menyedihkan apabila saya dijangka hanya mampu hidup selama enam bulan.

“Alhamdulillah, saya dapat bernafas sehingga kini dan memperoleh ijazah. Saya hanya perlu membuat pemeriksaan doktor setahun sekali ketika ini,” katanya ketika ditemui pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke- 86 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di sini, semalam.

Pada sidang kelapan itu, seramai 2,185 graduan menerima Ijazah Sarjana, Sarjana Muda serta Diploma yang disampaikan Pro-Canselor UiTM Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad.

Nazrul yang juga penerima Anugerah Naib Canselor (ANC) dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) sebanyak 3.80 mengakui bukan mudah untuk mengecapi kejayaan itu sama seperti graduan lain.

“Walaupun hanya memiliki satu mata, saya bersyukur kerana tiada masalah penglihatan atau berhadapan dengan kesukaran, malah pandangannya juga amat jelas.

Anak kedua daripada empat adik beradik itu kini melanjutkan pengajiannya ke peringkat ijazah sarjana dalam bidang linguistik dan bercita-cita menjadi seorang pensyarah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 6:26 AM