Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal melaksanakan sistem pengesanan nombor plat automatik (ANPR) sebaik saja mendapat peruntukan kewangan daripada kerajaan, tahun depan .

Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata, pihaknya sudah mendapat kelulusan daripada kerajaan untuk menggunakan sistem itu, namun masih belum menerima peruntukan kewangan.

Menurutnya, ANPR yang kini digunakan secara meluas di China dan United Kingdom (UK) akan memudahkan polis mengesan kenderaan curi atau yang digunakan untuk tujuan jenayah.

“Kelebihan sistem ini ialah kamera bukan saja merakamkan nombor plat tapi turut mengkaji arah kemungkinan lokasi seterusnya dan maklumat yang ada akan disalurkan terus kepada kenderaan pihak berkuasa terdekat,” katanya dalam sidang media semalam.

Beliau berkata, ANPR direka untuk mengesan imej plat kenderaan dan merakamkannya dalam apa jua cuaca sebelum mentafsirkannya dan seterusnya melakukan semakan 24 jam sehari.

Menurutnya, alat berkenaan boleh diletakkan di kawasan tumpuan yang mengkaji jutaan imej plat setiap hari.

“Setiap pegawai hanya mampu memeriksa 50 hingga 100 plat setiap hari namun dengan sistem terbabit, ia berupaya mengesan 5,000 plat pada satu masa,” katanya.

Sementara itu, dalam usaha melaksanakan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang lalu lintas, pihaknya menerima 55 unit kamera ‘trucam’ yang diedarkan kepada semua kontinjen PDRM dan Zon Peronda Lebuh Raya.

Beliau berkata, bagi tempoh 2011 hingga bulan lalu, sebanyak 42,864 saman dikeluarkan bagi kesalahan memotong di garisan berkembar dan menggunakan lorong kecemasan.

“Sepanjang Ops Selamat 5 yang lalu, sejumlah 2,529 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya seluruh negara atas dua kesalahan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 8:27 AM