Sulaiman ( kiri ) mendengar penerangan daripada DSP Bakri Zainal Abidin (kanan) mengenai Alat ANPR yang digunakan ketika menjalankan Ops Saman Tertunggak di Johor Bahru.  FOTO Zain Ahmed
Sulaiman ( kiri ) mendengar penerangan daripada DSP Bakri Zainal Abidin (kanan) mengenai Alat ANPR yang digunakan ketika menjalankan Ops Saman Tertunggak di Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Alat pengesan nombor pendaftaran kenderaan automatik akan ditempatkan di laluan masuk dari Singapura di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru bagi mengesan kenderaan yang mempunyai saman tertunggak kesalahan trafik.

Ia sekali gus menjadikan daerah ini sebagai projek perintis bagi memudahkan tugas anggota polis trafik mengesan pesalah trafik.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, bermula munggu depan, sebuah alat pengesan yang dipanggil ANPR (Automated Number Plate Recognition) akan ditempatkan di laluan masuk itu, manakala dua lagi akan digunakan pada operasi khas.

"Untuk daerah ini, kita akan dibekalkan dengan tiga unit ANPR. Sekiranya program ini berjaya, seluruh negara akan mula melaksanakan penggunaan alat pengesan automatik ini kira-kira Jun nanti," katanya pada sidang media ketika Operasi Saman Tertunggak di Jalan Johor Bahru - Kota Tinggi di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut dibekalkan dengan 500 unit alat mudah alih sistem pembayaran kompaun dalam talian yang akan digunakan oleh anggota trafik ketika menjalankan tugas bagi memudahkan percetakan saman dan kompaun kepada pesalah trafik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 4:28 PM