Kuala Terengganu: “Perasaan rindu membuatkan saya tidak sabar untuk melawat pusara arwah di sana,” kata Roslina Abdul Rahim, 43, isteri kepada Zakaria Abdullah, 55, yang meninggal dunia di Tanah Suci Makkah pada 9 September lalu kerana serangan jantung.

Roslina berkata, kali terakhir dia berhubung dengan arwah pada jam 3 petang sehari sebelum arwah meninggal dunia.

“Kami berbalas mesej melalui aplikasi WhatsApp, arwah ada memberitahu dia akan berpuasa sunat selain menceritakan suasana di sana.

“Arwah tidak menunjukkan perubahan atau tanda pelik kerana dia berbalas mesej dengan saya seperti biasa,” katanya pada Majlis Penyerahan Khairat Kematian Tabung Haji di rumahnya di Kuarters Pertubuhan Peladang di Manir, di sini, semalam.

Menurut Roslina, dia dan arwah sepatutnya mengerjakan haji bersama pada 2027 mengikut giliran ditetapkan Tabung Haji tetapi arwah suaminya bernasib baik kerana terpilih menunaikan Rukun Islam Kelima itu melalui Program Khas Haji Perdana Menteri tajaan Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Kami sangat merindui arwah dan apabila diberitahu Yayasan 1MDB akan menghantar kami untuk mengerjakan umrah dan melawat pusara arwah di Tanah Suci Makkah, sedikit sebanyak ia dapat mengubat kesedihan dan kerinduan kami pada arwah,” katanya yang mempunyai dua anak lelaki berusia 16 dan 19 tahun hasil perkahwinannya bersama arwah.

Katanya, tarikh untuk mengerjakan umrah dan melawat pusara arwah belum ditetapkan dan masih dalam perbincangan untuk menentukan tarikh sesuai.

“Saya dan keluarga bersyukur serta berterima kasih kepada semua pihak yang menguruskan jenazah arwah dengan sebaik mungkin dan menjaga kebajikan kami sekeluarga,” katanya.

Pada majlis itu, Tabung Haji yang diwakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Badlisyah Abdul Ghani menyerahkan khairat dan sumbangan kepada Roslina.

Sebelum ini, Zakaria bertugas sebagai Pengurus Besar Kawasan Peladang Kuala Berang berlepas ke Tanah Suci Makkah pada 26 Ogos lalu dan meninggal dunia selepas diserang sakit jantung ketika solat di Masjidilharam pada 9 September, jam 9.30 pagi waktu Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 7:11 AM
Badlisyah (dua, kanan)  bertanya khabar  kepada Roslina ketika menziarahnya di Kuarters Pertubuhan Peladang Kawasan Manir.
Badlisyah (dua, kanan) bertanya khabar kepada Roslina ketika menziarahnya di Kuarters Pertubuhan Peladang Kawasan Manir.