NUR Ziatun ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Langkawi, semalam.
NUR Ziatun ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Langkawi, semalam.

Langkawi: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Langkawi, di sini, semalam, atas pertuduhan membunuh pemandu teksi berusia 66 tahun, awal bulan ini.

Tertuduh, Nur Ziatun Che Jamil, 23, hanya mengangguk faham sejurus kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut kertas pertuduhan, Nur Ziatun didakwa membunuh Othman Arshad di Kampung Bubur, Mukim Kedawang, di sini, antara jam 2 petang, 1 September hingga jam 4.45 petang, 6 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Majistret Nurshahida menetapkan 18 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan menerima laporan forensik.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Shah Reza Noor Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan juga tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 7:01 AM