Balqis Jazimah Zahari


Tapah: Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tapah hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah kolam ikan di Bidor, September tahun lalu.

Tertuduh, N Mageswaran, 31, dan M Anbu, 30, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes berada dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa membunuh D Gunasealan,29.

Tertuduh, didakwa melakukan kesalahan itu di kolam ikan Kampung Poh, Bidor antara jam 2 pagi hingga 7.30 pagi pada 13 September 2021.

Oleh yang demikian, keduanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mageswaran (baju jingga) dan Anbu (baju ungu) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tapah di sini. FOTO ALQIS JAZIMAH ZAHARI
Mageswaran (baju jingga) dan Anbu (baju ungu) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tapah di sini. FOTO ALQIS JAZIMAH ZAHARI

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria manakala Anbu diwakili peguam J Gunamalar, Mageswaran bagaimanapun tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 21 Mac hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan forensik.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh kedua, Anbu untuk mendapat perhatian rawatan perubatan berikutan mengalami sakit kaki.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh tiba di perkarangan Mahkamah dengan menaiki trak polis sekitar jam 9 pagi diiringi penguatkuasa sebelum dibawa masuk ke mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 11:50 AM